Hong Leong AM umum agihan pendapatan RM428 juta untuk 20 dana | DagangNews Skip to main content

Hong Leong AM umum agihan pendapatan RM428 juta untuk 20 dana

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Feb - Hong Leong Asset Management Berhad (Hong Leong AM) mengumumkan agihan pendapatan berjumlah RM428 juta membabitkan 20 dananya bagi tempoh 12 bulan bermula 1 Januari 2021 dan berakhir 31 Disember 2021.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong AM, Hoo See Kheng berkata, dana konvensional HL Value Fund menjana hasil agihan sebanyak 7.03 %, HL Asia-Pacific Dividend Fund (6.98%), HL Growth Fund (7.06%) dan HL Consumer Products Sector Fund (9.27%).

 

Dana Syariah HL Dana Makmur dan HL Dana Maa'rof mencatatkan hasil agihan masing-masing pada 6.51% dan 5.49% manakala dana borong Wholesale-Hong Leong Global Multi Strategies Fund pula menjana hasil agihan 4.73%.

 

“Falsafah pelaburan kami ternyata terus membantu membuahkan hasil dan membolehkan pengurus dana kami mencatatkan satu lagi tahun hasil agihan yang mampan untuk para pemegang unit itu.

 

"Pasukan kami kekal fokus dan bersedia untuk membantu pelanggan kami berhadapan dengan situasi turun naik pasaran dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dana-dana tersebut diagihkan melalui pejabat Hong Leong AM, Hong Leong Bank Berhad serta cawangan di seluruh negara dan secara digital melalui HL iSmart Invest.

 

Hong Leong AM merupakan syarikat pengurusan aset dalam Kumpulan Syarikat Kewangan Hong Leong. 

 

Syarikat itu ditubuhkan bagi mengagihkan dana unit amanah, dana borong dan penyelesaian portfolio tersuai kepada segmen runcit dan institusi. - DagangNews.com