Hotel Istana ucapkan 'Selamat Tinggal' | DagangNews Skip to main content

Hotel Istana ucapkan 'Selamat Tinggal'

 

 


KUALA LUMPUR 1 Julai - Hotel Istana yang menjadi ikonik di tengah-tengah ibu kota, akhirnya terpaksa melabuhkan tirai pada 1 September ini setelah terhimpit akibat pandemik COVID-19. 

 

Penutupan hotel bertaraf lima bintang ini semakin menambah 'luka' sedia ada bagi pemain industri perhotelan dan pelancongan yang kian hari semakin buntu untuk bertahan dalam persekitaran mencabar ketika ini.

 

Pengurus Besar Hotel Istana, Noorazzudin Omar berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pihak pengurusan mempertimbangkan keadaan semasa dan semua pilihan yang ada.

 

Ia akan menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada para pekerjanya berikutan keputusan berkenaan.

 

 

notis
Notis penamatan operasi Hotel Istana.

 

 

Minggu lalu, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) memberitahu Sinar Harian, sekurangnya-kurangnya 120 hotel akan ditutup sementara atau selama-lamanya.

 

Noorazzudin dalam notis penamatan operasi hotel tersebut berkata, meskipun Hotel Istana digunakan sebagai pusat kuarantin, tetapi pihak pengurusan masih menanggung kerugian setiap bulan. 

 

"Situasi pandemik ini terus menerus memberi kesan kepada industri dan kemampuan untuk kembali normal dan memberi kesan kepada perniagaan, kadar pulangan dan pengunjung walaupun kami cuba melakukan yang terbaik untuk menanganinya," katanya dalam surat berkenaan.

 

Beliau juga memberitahu, pihak sumber manusia akan berhubung dengan para pekerja untuk menyediakan maklumat terperinci dalam tempoh beberapa hari lagi. - DagangNews.com