Hovid labur RM1.05 juta bantu kempen promosi Tahun Melawat Perak | DagangNews Skip to main content

Hovid labur RM1.05 juta bantu kempen promosi Tahun Melawat Perak

Nurmalis (dua dari kanan), Sarah (dua dari kiri) dan Sze Yee selepas memeterai kerjasama mempromosikan Tahun Melawat Perak.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 9 Feb - Syarikat farmaseutikal tempatan, Hovid Berhad (Hovid) tidak mahu ketinggalan dalam mempromosikan Tahun Melawat Perak 2024 apabila memeterai kerjasama dengan Tourism Perak sebagai rakan strategik.

 

Menerusi kerjasama ini, Hovid akan membantu memperkenalkan pelancongan Perak pada tin minuman teh herba, Ho Yan Hor yang dipasarkan termasuklah ke luar negara.

 

Difahamkan kerjasama ini melibatkan pelaburan sebanyak RM1.05 juta.

 

Pengarah Eksekutif Hovid, Sarah Ho berkata, pihaknya ingin memanfaatkan jenama farmaseutikal itu yang terkenal untuk menarik lebih ramai pelancong ke Perak.

 

Teh
Tin minuman teh herba Ho Yan Hor yang memaparkan destinasi ikon pelancongan Perak.

 

Menurut beliau, tin minuman herba itu memaparkan destinasi ikon pelancongan Perak seperti Kellie's Castle, Menara Jam Teluk Intan dan Muzium Ho Yan Hor di Ipoh.

 

“Kita akan mengeluarkan 300,000 tin minuman teh herba Ho Yan Hor yang mempunyai pek eksklusif dengan tema Tahun Melawat Perak ini.

 

“Selain itu, Hovid juga akan membekalkan sampel produk lain seperti tisu basah Germise, pembersih tangan Quicklean dan Chewette Vitamin C. 

 

“Selain itu pihak Hovid akan menganjurkan Pameran Warisan Muzium Ho Yan Hor untuk membantu merancakkan lagi Tahun Melawat Perak 2024,” ujarnya.

 

Beliau sebelum itu memeterai memorandum persefahaman bagi kerjasama tersebut dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

 

Teh

 

Teh
Muzium Ho Yan Hor Ipoh.

 

Hadir sama Exco Pelaburan, Industri, Pelancongan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee.

 

Sepanjang kerjasama ini, Tourism Perak juga akan melibatkan pihak Hovid untuk menyertai pameran di dalam dan luar negara bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Perak 2024.

 

Teh herba Ho Yan Hor asalnya merupakan ramuan ubat selsema oleh mendiang Dr. Ho Kai Cheong pada tahun 1941 yang juga merupakan pengasas syarikat Hovid.

 

Rumah asal mendiang kini dijadikan muzium yang mempamerkan sejarah perniagaan teh herba beliau dan menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong di Ipoh. - DagangNews.com