Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Sept. - HSBC Amanah Malaysia Berhad (HSBC) menjadi bank pertama yang melancarkan indeks pelaburan ekuiti dengan penggunaan Artificial Intelligence (AI) melalui rangkaian produk terbaharunya iaitu Al Powered US Equity 5 Index (AiPEX5).
Ketua Pasaran Global HSBC Malaysia, Alvin Kong berkata, indeks baharu itu dilihat sangat relevan kepada pelabur tempatan untuk mengenal pasti prestasi saham syarikat selain persediaan kepada risiko penarikan dalam keadaan turun naik pasaran.
"Susulan pasaran yang kurang stabil akibat COVID-19, pelabur memerlukan strategi khusus untuk mengenal pasti tahap pulangan serta risiko dalam pelaburan mereka.
"AiPEX5 menggabungkan ribuan penganalisis dan peniaga untuk mengenal pasti peluang pelaburan yang berpotensi. Ia bukan sahaja memberi peluang kepada pelanggan untuk mengikuti aktiviti pelaburan mereka, malah pengembangan mereka dalam dunia yang semakin mencabar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
AiPEX5 dihasilkan untuk memberi pulangan pelaburan jangka panjang melalui kaedah terkini iaitu AI.
Dengan kelebihan pemprosesan data yang lebih pantas daripada manusia, AiPEX5 berpotensi mendapatkan pelbagai maklumat berbanding pasaran lain di samping kesesuaian pasaran pelaburan semasa.
Indeks AiPEX yang merupakan sebagian daripada AiPEX5 dikembangkan dengan kelebihan AI EquBot dan IBM Watson ™ membolehkan penyaluran dan pembelajaran melalui titik data yang tersedia secara berterusan.
Titik data tersebut merangkumi pengumuman syarikat, ciapan, gambar satelit tempat letak kereta serta nada bahasa yang digunakan oleh CEO syarikat semasa membuat pengumuman pendapatan mereka.
Antara kelebihan lain yang terkandung dalam indeks pelaburan ekuiti AiPEX5 ialah;
- Kelebihan maklumat : AiPEX5 adalah satu-satunya indeks yang menggunakan IBM Watson 1 untuk terus menganalisis berjuta-juta data berstruktur dan tidak berstruktur pada setiap hari selain mengubah data kepada dapatan pelaburan (investment insight).
- Prinsip pemilihan saham yang mantap: AiPEX5 membuat pemilihan saham berdasarkan AI untuk memperbaiki teknik pengurusan portfolio ekuiti asas.
- Kawalan volatiliti: AiPEX5 menggabungkan mekanisme kawalan turun naik pelaburan harian untuk mengurangkan pendedahan kepada ekuiti ketika pasaran tidak stabil.
Sementara itu, Ketua Negara Harta dan Perbankan Peribadi HSBC Malaysia, Tara Latini berkata, setiap data yang dikeluarkan oleh AiPEX5 memberi pandangan baharu mengenai prestasi syarikat atau pasaran yang membawa kepada keputusan pelaburan yang lebih baik.
"Pelabur akan dapat pendedahan kepada strategi yang berkembang dari semasa ke semasa dan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada pengukuran pra-program," tambahnya. - DagangNews.com