KUALA LUMPUR 27 Mac - HSBC memperuntukkan kemudahan pembiayaan berjumlah AS$1 bilion di bawah Dana Pertumbuhan ASEAN bagi menyokong perkembangan syarikat perniagaan di enam negara ASEAN melalui platform digital di seluruh Asia Tenggara.
Dana itu juga bagi membantu pemain platform digital di rantau ini mencapai skala ekonomi, mengembangkan portfolio aset mereka selain memajukan kitaran hayat korporat.
Ekonomi digital Asia Tenggara adalah antara yang paling pesat berkembang di dunia, bernilai AS$218 bilion pada 2023 dan dijangka mencecah AS$600 bilion menjelang akhir dekad ini pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 16%.
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC, Datuk Omar Siddiq berkata, seperti kebanyak perniagaan yang memiliki visi antarabangsa, pihaknya teruja dengan ekonomi digital ASEAN yang sedang berkembang pesat.
"HSBC mempunyai sejarah yang kukuh di ASEAN dalam menyokong usahawan dan meningkatkan perniagaan.
"Pengenalan tawaran terbaharu ini membolehkan kami menyokong syarikat ekonomi baharu di ASEAN dengan lebih baik sama ada syarikat baharu atau syarikat besar sambil mereka berkembang maju sepanjang kitaran hayat korporat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini HBC menjalankan menjalankan tijauan ke atas 600 syarikat yang beroperasi di Asia Tenggara dan mendapati bahawa 'operasi pendigitalan' menjadi keutamaan kepada 55% responden di Malaysia manakala fokus kepada 'pertumbuhan ASEAN' (59%) 'pembangunan produk / penyelidikan dan pembangunan' (33%) merupakan antara keutamaan lain.
Sementara itu, Ketua Perbankan Komersial HSBC Malaysia, Karel Doshi berkata, hampir tiga perempat daripada responden (73%) menyatakan bahawa 'pendigitalan operasi' adalah penting dan lebih 82% daripada responden merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam pendigitalan perniagaan di ASEAN.
"Penerimaan digital yang pantas di ASEAN bermakna perniagaan semakin memerlukan perbankan digital untuk menyokong pertumbuhan mereka.
"Mereka mahukan rumusan perdagangan dan pembayaran yang mudah dan mudah digunakan yang akan membebaskan lebih banyak masa untuk mereka menumpukan pada strategi dan pengembangan," katanya. - DagangNews.com