HSBC SCF percepat aliran tunai pembekal Proton | DagangNews Skip to main content

HSBC SCF percepat aliran tunai pembekal Proton

HSBC SCF

KUALA LUMPUR 17 Julai - HSBC Supply Chain Finance (HSBC SCF) diperkenal melalui kerjasama HSBC Malaysia dan Proton Holdings Berhad(Proton) untuk membantu pembekal Proton khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne berkata, HSBC SCF merupakan satu lagi kejayaan perkongsian antara HSBC dan Proton kerana turut melibatkan pembekal Proton yang jelas mendapat manfaat terutamanya PKS tempatan.

"Kami benar-benar gembira dapat membantu meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan industri automotif Malaysia.

"Inisiatif ini juga membuktikan sokongan berterusan HSBC untuk perniagaan tempatan khususnya semasa COVID-19 yang memerlukan modal kerja bagi meneruskan operasi perniagaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

HSBC SCF

Program HSBC SCF membantu mempercepatkan aliran tunai pembekal Proton dengan mendapatkan bayaran awal melalui hasil jualan.

Pembekal juga diberi akses modal operasi pada kadar yang lebih rendah dengan memanfaatkan profil kredit Proton.

HSBC SCF dilancarkan secara digital yang membuka peluang akses kepada Proton dalam urusan memuat naik invois dan membenarkan proses pembayaran selain mewujudkan proses perkhidmatan integrasi yang lebih mudah kepada pembekal bagi meningkatkan jumlah sokongan dalam jangka masa yang singkat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamad berkata, inisiatif itu adalah salah satu contoh pihaknya membantu ekosistem penjual.

"Kami bukan sahaja mencipta perniagaan tetapi juga aktif dalam mengembangkan kecekapan penjual hingga mereka dapat bersaiang. Kami akan memastikan penjual akan terus mendapat aliran tunai yang baik dan dapat fokus kepada perniagaan mereka.

"Kemudahan ini juga merupakan satu pengiktirafan daripada rakan-rakan peringkat global yang turus memberi keyakinan kepada jenama Proton," katanya. - DagangNews.com