HSL dijangka raih manfaat daripada projek pembangunan di Sarawak - MIDF | DagangNews Skip to main content

HSL dijangka raih manfaat daripada projek pembangunan di Sarawak - MIDF

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Hock Seng Lee Bhd. (HSL) tetapi menyemak semula harga sasarannya lebih rendah kepada RM1.06 berbanding RM1.14 sebelum itu. 

 

Malah, firma itu juga menyemak turun unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 masing-masing sebanyak 29% dan 16% kepada RM31.3 juta dan RM44.82 juta. 

 

"Kami merendahkan anggaran pendapatan dan hasil lebih rendah ekoran prestasi kumpulan yang suram," jelas penganalisisnya, Ummar Fitri dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagi tempoh 6 bulan tahun kwangan 2021, hasil dinormalisasikan meningkat 55.%% kepada RM17.86 juta di sebalik sekatan pergerakan meskipun kerja-kerja pembinaan dianggap sebagai perkhidmatan penting dan dibenarkan beroperasi.

 

Firma kejuruteraan marin, awam dan pembinaan yang berpangkalan di Kuching, Sarawak ini merekodkan pendapatan lebih tinggi ini didorong oleh kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi dan juga menerusi segmen hartanah.

 

Segmen pembinaan merekodkan untung sebelum cukai sebanyak RM7.01 juta meningkat 129% pada suku kedua 2021 dengan pendapatan juga meningkat 55% kepada RM114.81 juta. 

 

Untuk segmen hartanah pula, pendapatan dan untung bersih sebelum cukai masing-masing meningkat 116.67% kepada RM19.5 juta dan 80% kepada RM4.21 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, menurut Ummar, prestasi tersebut adalah di bawah jangkaan firma dan konsensus kerana ia mewakli hanya 40.3% dan 41.3% daripada keseluruhan unjuran tahunan. 

 

"Dalam hal ini, kami berpendapat, ia disebabkan margin keuntungan kasar yang lebih rendah daripada jangkaan bagi projek-projek sedia ada," katanya. 

 

Beliau berkata, secara keseluruhan, prospek pendapatan dan hasil kumpulan kekal kukuh dan dijangka pulih bagi tahun kewangan 2021 apabila aktiviti pembinaan dibuka semula dan kerajaan Sarawak memberi fokus membangunkan projek infrastruktur.

 

Malah, katanya, prospek kumpulan juga disokong oleh nilai kontrak kira-kira RM1.8 bilion bagi segmen pembinaan yang mampu menampung pendapatan dalam tempoh 2 hingga 3 tahun. 

 

"Pada masa sama, kami juga melihat HSL akan terus mendapat manfaat daripada projek mega infrastruktur di Sarawak dan Sabah, antaranya, Sarawak-Sabah Link Road, Coastal Road, projek lebuh raya Trans-Borneo, Projek Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak dan Hab Petrokimia Sarawak pada masa akan datang," tambahnya. - DagangNews.com