KUALA LUMPUR 23 Nov - Untung bersih HSS Engineers Bhd. melonjak kepada RM5 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 daripada RM225,000 yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong segmen pengurusan perundingan projek (PMC) yang lebih kukuh.
Ini berikutan pendapatan yang lebih stabil pada suku berkenaan sebanyak RM40.4 juta berbanding RM42.9 juta, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Kumpulan merekodkan sumbangan pertama daripada kerja-kerja Transit Aliran Massa 3 (MRT3) sebagai PMC sejak Ogos 2022.
Beserta kerja-kerja PMC untuk Lebuh raya Pan Borneo Sabah Fasa 1A, pendapatan segmen itu meningkat 38.6% kepada RM13.2 juta daripada RM9.5 juta tahun lalu.
Segmen perkhidmatan kejuruteraan pula merekodkan pendapatan berjumlah RM24.6 juta pada suku tersebut berbanding RM31.2 juta sebelumnya selaras dengan kemajuan projek.
Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022, keuntungan bersih kumpulan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM11.5 juta berbanding RM3.8 juta sebelum ini atas campuran produk yang menggalakkan, walaupun pendapatan merosot kepada RM114.7 juta daripada RM125.8 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Setakat 30 September 2022, nilai kontrak kumpulan yang belum dibilkan berjumlah RM1.5 bilion, yang akan dibilkan dalam tempoh lapan tahun akan datang.
Naib Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata, dengan nilai kontrak dalam tangan yang kukuh, kumpulan secara agresif mengembangkan pasukan jurutera untuk memenuhi aktiviti yang lebih tinggi berikutan perolehan tunggal terbesar dalam kontrak MRT3 bernilai RM997.9 juta.
Katanya, ia termasuklah pelbagai projek tebatan banjir dan infrastruktur tempatan yang melibatkan kumpulan secara aktif.
"Kami optimis untuk mengekalkan aliran menaik yang ketara pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 di samping terus mengorak langkah dengan memainkan peranan penting sebagai PMC bagi MRT3, pakej kerja berkaitan air untuk Selangor dan projek tebatan banjir di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com