HTAR nafi dakwaan wad kecemasan dikosongkan kerana PM melawat | DagangNews Skip to main content

HTAR nafi dakwaan wad kecemasan dikosongkan kerana PM melawat

KLANG 14 Julai - Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menafikan dakwaan Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) hospital itu dikosongkan sebelum lawatan Perdana Menteri, semalam.

 

Menurut Pengarah HTAR, Zulkarnain Mohd Rawi, dakwaan berkenaan tidak benar kerana jabatan itu sememangnya penuh dengan pesakit.

 

“Pesakit yang belum menerima rawatan di ETD setakat 13 Julai, adalah seramai 177 orang,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata demikian bagi mengulas mesej dan gambar yang tular mendakwa ETD HTAR menjadi kosong semasa Muhyiddin melawat hospital itu semalam.

 

Beliau menambah keputusan untuk menempatkan pesakit COVID-19 ke Wad berisiko rendah adalah terletak kepada pihak pengurusan wad dan bukan daripada ETD.

 

Zulkarnain berkata, pemindahan terbabit adalah pelan kontigensi yang diambil bagi pengurusan bencana peringkat hospital.

 

Dalam pada itu, Zulkarnain turut mengesahkan, beberapa blok asrama doktor pelatih di sana sudah ditukar fungsi sebagai wad COVID-19.

 

Beliau berkata, notis telah dikeluarkan kepada semua penghuni blok A dan B asrama doktor pelatih HTAR.

 

“Notis telah dikeluarkan kepada semua penghuni di Blok A dan Blok B Asrama Doktor Pelatih supaya keluar dalam tempoh empat hari sejak 9 Julai 2021 (Jumaat) untuk berpindah ke Asrama Pelajar Perubatan UM.

 

“Selepas semua pemindahan Doktor Pelatih ke Asrama Pelajar Perubatan UM selesai dilakukan pada 12 Julai 2021, fungsi Blok A dan B Asrama Doktor Pelatih telah ditukarkan kepada Wad COVID-19 Berisiko Rendah,” katanya. - DagangNews.com