KUALA LUMPUR 25 Sept. - Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei) dan Serba Dinamik Group Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka dan memajukan penyelesaian industri digital negara.
Kerjasama tersebut turut mengfokuskan kepada pembangunan penyelesaian inovasi digital serta memajukan kampus pintar di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan berkata, pembangunan digital yang diberi penekanan adalah termasuk platform digital untuk pendidikan, ekosistem hidu pintar dan automasi untuk pengeluaran.
"Huawei adalah salah satu daripada peserta industri yang mampu menyediakan penyelesaian akhir ICT secara menyeluruh yang menjadi komponen penting dalam mewujudkan kampus pintar.
"Penyelesaian itu adalah termasuk kombinasi terkini pengkomputeran awan, teknologi internet kebendaan (IoT), analisis data raya dan kecerdasan buatan (AI)," jelasnya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU antara kedua-dua syarikat berkenaan hari ini.
Serba Dinamik diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Abdul Karim Abdullah.
Turut hadir bersama ialah Naib Presiden Pembangunan Pelaburan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Hew Wee Choong.
Menurut laporan Berita Harian, Penyelesaian awan (cloud) dan AI Huawei akan menyediakan platform yang mudah digunakan dan asas teknologi yang kukuh untuk Serba Dinamik dan Huawei membangunkan penyelesaian digital.
Visi dan misi Huawei ialah untuk membawakan digital kepada setiap orang, kediaman dan organisasi untuk dunia yang serba terhubung dan pintar.
Tambah beliau lagi, dengan kerjasama tersebut, pihaknya percaya akan mampu memacu kesalinghubungan dan mambawa penyelesaian awan dan AI kepada setiap sudut di Malaysia.
Sementara itu, Abdul Karim memberitahu, pihaknya teruja dengan kerjasama tersebut yang dapat menggabungkan kepakaran dan teknikaliti yang akan memberi asas kukuh kepada Serba Dinamik untuk menjadi hub inovasi AI.
"Ini juga adalah waktu yang mengujakan buat Serba Dinamik memandangkan kami meneruskan pelan pengembangan antarabangsa kami.
"Kami akan terus meningkatkan syer pasaran syarikat menerusi kontrak baharu serta kontrak sedia ada di kedua-dua peringkat tempatan dan antarabangsa di sebalik ketidaktentuan pasaran," katanya lagi. - DagangNews.com