Hume Cement Industries lupus tanah RM39.8 juta di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Hume Cement Industries lupus tanah RM39.8 juta di Pulau Pinang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Jan - Hume Cement Industries Berhad (HCIB) akan melupuskan tanah dengan pertimbangan tunai RM39.8 juta di Pulau Pinang kepada Skygate Technology (KL) Sdn Bhd (Skygate KL).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pengilang simen itu berkata anak syarikatnya, Hume Concrete Sdn Bhd (HCCT), telah menerima tawaran pembelian daripada SkyGate KL untuk tanah berserta bangunan di atasnya yang terletak di Kawasan Perindustrian Prai.

 

Menurut HCIB, Skygate KL menawarkan untuk membeli hartanah terbabit atas dasar ‘sebagaimana adanya’ dan tertakluk kepada semua syarat hakmilik dan sekatan kepentingan.

 

Skygate KL dikehendaki untuk membayar deposit yang boleh dilucutkan hak berjumlah RM796,000 atau 2% daripada harga pembelian.

 

Sementara itu, baki deposit sebanyak RM3.18 juta atau 8% daripada harga pembelian dibayar selepas menandatangani perjanjian jual beli (SPA) rasmi.

 

Baki harga pembelian sebanyak RM35.82 juta pula akan dibayar dalam tempoh tiga bulan dari tarikh peguam cara Skygate KL menerima kelulusan yang diperlukan daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang untuk pemindahan harta.

 

Jika baki gagal dibayar dalam tempoh tersebut, tempoh akan dilanjutkan secara automatik selama sebulan dengan faedah pada kadar 8% dikira setiap hari berdasarkan jumlah tertunggak pada tamat tempoh penyiapan.

 

HCIB berkata cadangan pelupusan itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat.

 

“Dengan mengandaikan pelupusan selesai, Kumpulan HCIB menganggarkan keuntungan bersih direalisasikan daripada pelupusan kira-kira RM32 juta.

 

“Berdasarkan terbitan saham HCIB pada 29 Disember 2023, pendapatan sesaham disatukan dan aset bersih sesaham disatukan HCIB masing-masing dijangka meningkat kira-kira 5 sen dan 6 sen,” katanya.

 

Saham Hume Cement Industries ditutup rendah 2 sen atau 0.8% pada RM2.65 hari ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM1.6 bilion. - DagangNews.com