KUALA LUMPUR 21 Julai - Hutang Kerajaan Persekutuan sehingga akhir Jun 2022 adalah berjumlah RM1.045 trilion, atau 63.8%, daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dalam jawapan bertulis Parlimen, beliau berkata, sebanyak RM43.1 bilion, atau 18.4%, daripada anggaran jumlah hasil Putrajaya diperuntukkan untuk caj khidmat hutang Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2022.
“Sehingga akhir Jun 2022, RM19.8 bilion telah dibelanjakan untuk membayar faedah hutang tertunggak kerajaan.
“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan pembayaran faedah dibuat mengikut jadual ditetapkan.
“Bayaran khidmat hutang ini diperuntukkan sebagai ruang liabiliti T13, iaitu salah satu perbelanjaan liabiliti yang diutamakan berbanding perbelanjaan lain, seperti termaktub di bawah Perkara 98 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan bahawa semua caj hutang adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan."
Tengku Zafrul menjawab soalan Karupaiya Mutusami (Pakatan Harapan-Padang Serai), yang bertanyakan mengenai jumlah hutang negara yang terkini dan berapa banyak faedah yang perlu dibayar oleh negara untuknya.
Dilaporkan baru-baru ini bahawa pada akhir Jun, pinjaman luar pesisir Malaysia berjumlah RM29.4 bilion, manakala hutang berkanun menyumbang lebih daripada 60% daripada KDNK.
Minggu lalu, Tengku Zafrul mengeluarkan kenyataan menyatakan kedudukan fiskal Malaysia masih kukuh dan hutang kerajaan persekutuan masih terkawal.
Beliau berkata kerajaan kekal berdisiplin tinggi dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang matang walaupun telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan. - DagangNews.com