Hyundai Staria 10 tempat duduk dilancar pada suku keempat, harga bermula dari RM170,000 | DagangNews Skip to main content

Hyundai Staria 10 tempat duduk dilancar pada suku keempat, harga bermula dari RM170,000

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Sept - Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) akan memperkenalkan varian 10 tempat duduk baharu untuk MPV yang diinspirasikan melalui kapal angkasa, Hyundai Staria pada suku keempat 2022.

 

Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung berkata, Staria 10 tempat duduk merupakan MPV yang dinanti-nantikan selepas pengenalan varian mewah tujuh tempat duduk tahun lepas.

 

“Kami telah mendapat pertanyaan untuk varian 10 tempat duduk kerana terdapat jangkaan bahawa varian 10 tempat duduk akan menggantikan Starex. 

 

"Seperti Starex, varian 10 tempat duduk ini sesuai untuk keluarga besar, pengusaha pelancongan dan perniagaan tetapi dengan peningkatan yang luas dan lebih banyak fungsi dalam setiap aspek kenderaan berbanding Starex,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


 
Menampilkan reka bentuk baharu Hyundai yang futuristik dan ikonik, Staria membangkitkan bentuk kapal angkasa yang diperkemas. Bahagian luarnya yang anggun diilhamkan menerusi lengkungan cahaya yang menerangi ufuk bumi pada waktu matahari terbit apabila dilihat dari angkasa lepas.

 

Bahagian hadapan Staria dihiasi dengan lampu nyalaan siang mendatar (DRL) dan lampu penentu kedudukan di hadapannya, kedua-duanya merentasi lebar kenderaan. Ini dilengkapi dengan jeriji radiator yang tebal dan lebar dengan corak unik.

 

Hyundai menggunakan warna badan yang sama untuk semua bahagian hadapan untuk memaksimumkan gaya moden dan tulen kenderaan itu. Reka bentuk belakangnya menekankan keanggunan, lampu belakang piksel parametrik dan kaca belakang yang besar.

 

 

hyundai

 

 

Ruang kakinya yang luas adalah antara yang terbaik dalam segmennya dan boleh ditukar menjadi ruang kargo tambahan yang luas apabila semua tempat duduk disatukan.

 

Selain itu, mod rata penuh yang digunakan pada tempat duduk penumpang belakang Staria 10 tempat duduk, menjadikan kenderaan ini pilihan tepat untuk aktiviti yang memerlukan banyak ruang dan fleksibiliti dalaman, seperti perkhemahan dan pengangkutan intensif peralatan.

 

MPV tersebut dilengkapi enjin 2.2 CRDi berkuasa diesel yang dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan. Ia memberikan anggaran output kuasa 177PS dan 431Nm tork.

 

Pengecas turbo penyejuk udara berkecekapan tinggi mempunyai prestasi pemampat dan roda turbin lebih baik untuk prestasi tork kelajuan rendah yang lebih baik.

 

Tersedia dalam tiga varian iaitu Lite, Plus dan Max. Harganya dianggarkan bermula dari RM17X,XXX dengan yuran tempahan sebanyak RM1,000.

 

Orang ramai yang berminat kini boleh ke mana-mana bilik pameran Hyundai yang sah untuk membuat tempahan. Tempahan juga boleh dibuat secara dalam talian melalui platform beli-belah dalam talian Hyundai, Click to Buy (www.hyundai.com.my/clicktobuy/). - DagangNews.com