I-Berhad lantik 2 Pengarah Urusan Baharu | DagangNews Skip to main content

I-Berhad lantik 2 Pengarah Urusan Baharu

Ricky Lim Boon Soon dilantik sebagai Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa pada 1 Januari 2022.

 

 

SHAH ALAM 31 Dis – I-Berhad, syarikat pemaju hartanah mengumumkan pelantikan Ricky Lim Boon Soon dan Dato’ Eu Hong Chew sebagai Pengarah Urusan baharu, berkuatkuasa 1 Januari 2022.

 

Menurut I-Berhad, Ricky Lim Boon Soon mempunyai pengalaman luas dalam bidang teknologi, manakala Dato’ Eu Hong Chew memiliki lebih dari tiga dekad pengalaman dalam bidang industri korporat tempatan mahupun global, kedua Pengarah Urusan ini telah membina rangkaian industri yang kukuh serta pengetahuan mendalam yang tiada tandingan.

 

Kedua-dua pelantikan ini berkuatkuasa 1 Januari 2022, kata I-Berhad dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Lim Boon Soon atau Ricky Lim akan menerajui kumpulan dalam bahagian teknologi di I-Berhad.

 

I-Berhad merupakan sebuah syarikat yang terutamanya terlibat dalam bidang perniagaan seperti pembangunan hartanah, pelaburan hartanah, komponen industri seperti pelancongan dan hospitaliti serta teknologi.

 

Lim mempunyai pengalaman selama lebih sedekad dalam bidang jualan dan pemasaran. Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang auditor di Messrs KPMG pada tahun 1999. Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman sebagai perunding teknologi Cloud dan Salesforce selama 8 tahun sebagai pakar automasi dan pengurusan pelanggan.

 

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Perakaunan dan Kewangan) dari University of Melbourne, Australia pada tahun 1998 juga merupakan Ketua Pegawai Teknologi di I-Berhad pada 2 Mei 2019.

 

Sebagai Pengarah Eksekutif, beliau bertanggungjawab dengan kepimpinan dalam menyelia kesemua aspek teknologi untuk I-Berhad.


 

i-berhad

 


Ini turut merangkumi dari segi aspek strategi, inisiatif pembangunan dan pendigitalan, serta penyelesaian dan inovasi Bandar Teknologi Pintar. Beliau juga telah bekerjasama dengan syarikat ternama global seperti Tencent, HIK dan Sensetime di Menara Pejabat Pintar dan Penyelesaian Pengurusan Bangunan Pintar.

 

Lim telah memacu inovasi berasaskan teknologi dan beliau juga merupakan pengasas dalam melancarkan perkhidmatan baharu di i-City seperti aplikasi mudah alih yang digelar i-City SuperApp, sebuah platform yang serba lancar untuk kemudahan hidup yang lebih pintar seperti tempat letak kenderaan, penyewaan hartanah, pembayaran, platform mencari kerja, sembang komuniti dan lain-lain termasuk kemudahan tanpa tunai di taman tema serta penyediaan sistem pintar bagi tujuan pengecaman plat lesen kenderaan (LPR) untuk memberi kemudahan dalam kaedah pengurusan tempat letak kenderaan dan dapat mengawal aliran trafik dengan lebih baik. 

 

Beliau juga bertanggungjawab ke atas peningkatan rangkaian berkeupaayan 400G yang diterajui oleh Huawei untuk i-City. Teknologi ini memberikan rangkaian ketersediaan tinggi yang mampu memberikan gred internet perusahaan berbilang laluan dengan keupayaan tukar ganti automatik.

 

Sumbangan dan perkhidmatan Ricky Lim sejak sedekad lamanya telah memainkan peranan penting dalam penubuhan Pusat Data peringkat ketiga yang pertama di i-City.

 

Peranan baharunya juga turut merangkumi aspek untuk menerajui pengembangan Zon Pusat Data Kumpulan yang melibatkan penubuhan 2 pusat data baharu seluas 100,000 kaki persegi di i-City bagi memenuhi permintaan eksponen pusat data yang disebabkan oleh keperluan yang semakin meningkat dalam bidang teknologi Pengkomputeran Awan.


 

eu hong chew
Dato’ Eu Hong Chew

 

Sementara itu, ​​​​​​ Dato’ Eu Hong Chew sebelum ini pernah dilantik sebagai Lembaga Pengarah pada 15 Julai 1999 dan telah bersara pada 25 Jun 2020.

 

Dato’ Eu menamatkan pengajian di Royal Military College dengan anugerah kelas pertama dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari University of Glasgow, United Kingdom.

 

Beliau yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari University of Bradford, United Kingdom juga sebelumnya merupakan perunding termuda sewaktu tempoh berkhidmat di PA Consulting Worldwide.

 

Dato’ Eu juga seringkali dikaitkan dengan Sumurwang dan Kumpulan Syarikat Sumurwang selaku Ketua Eksekutif dengan pengalaman yang luas selama bertahun-tahun termasuk melakar laluan dalam membentuk cabang pembuatan Sumurwang, yang pertama dibawah Dreamland Holdings Berhad dan penerokaan seterusnya kedalam industri perniagaan keluli dan pemerolehan i-Berhad.

 

Beliau juga pernah berkhidmat di PA Management Consulting selama lebih dari sedekad. Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pengajian untuk Program MBA Cranfield PA di Malaysia sebelum menyertai Dreamland. – DagangNews.com