I-Berhad, Wyndham jalin kerjasama urus kondominium mewah Wyndham Suites KLCC | DagangNews Skip to main content

I-Berhad, Wyndham jalin kerjasama urus kondominium mewah Wyndham Suites KLCC

(Dari kiri) Tan Sri Lim Kim Hong dan Ooi Joon Aun di majlis pemeteraian kerjasama untuk menguruskan kondominium mewah Wyndham Suites KLCC, yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM820 juta.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Sept - I-Berhad bekerjasama dengan Wyndham Hotels & Resorts untuk menguruskan kondominium mewah 50 tingkat, dikenali sebagai Wyndham Suites KLCC, yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM820 juta.

 

Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata kerjasama tersebut merupakan satu lagi langkah untuk maju ke hadapan dan kumpulan itu teruja bergabung tangan dengan Wyndham Hotels & Resorts untuk mengubah Wyndham Suites KLCC.

 

“Ini bukan sahaja dapat meningkatkan reputasi dan kebolehlihatan jenama I-Berhad secara keseluruhan, malah rangkaian global Wyndham juga akan menyediakan platform kukuh bagi projek GDV RM10 bilion kami di i-City Shah Alam bagi memperluaskan pendedahan antarabangsanya.

 

Kim Hong berkata Wyndham Suites KLCC akan menarik keluarga, golongan professional dan pelancong dari seluruh dunia ke Kuala Lumpur menerusi ekosistem Wyndham Rewards dengan lebih 100 juta ahli di seluruh dunia.

 

Di samping itu, beliau turut mengumumkan bahawa i-City bakal menjalankan program One Shah Alam, One Destination dari November 2023 hingga Januari 2024 bagi memberi pengunjung pengalaman terbaik di bandar ini.

 

“Dengan aktiviti bersama, kemasukan pengunjung ke Wyndham Suites KLCC akan berlanjutan ke i-City, yang jaraknya hanya 30 minit melalui jalanraya.

 

“Ini akan meninggalkan kesan positif terhadap sektor pelancongan Kuala Lumpur dan Selangor," katanya.

 

Beliau menambah bahawa ini juga akan meningkatkan prestij dan daya tarikan kepada pembangunan i-City, sekaligus meningkatkan nilai hartanah dan menarik pelanggan yang berdaya beli lebih tinggi serta dari seluruh pelosok dunia ke i-City.

 

Sementara itu, Presiden Wyndham Hotels & Resorts Asia-Pasifik, Ooi Joon Aun berkata dengan pemulihan kukuh perniagaan dan perjalanan santai di seluruh Asia Pasifik, Malaysia terus menjadi destinasi popular untuk pelancong perniagaan dan percutian.

 

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan I-Berhad untuk projek ini.  Kerjasama ini akan menyediakan peluang pertumbuhan selanjutnya untuk portfolio hotel kami dengan mengukuhkan kehadiran jenama utama Wyndham di Malaysia," ujar beliau.  - DagangNews.com