i-Citra ganti i-Sinar, ahli boleh keluarkan hingga RM5,000 | DagangNews Skip to main content

i-Citra ganti i-Sinar, ahli boleh keluarkan hingga RM5,000

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra, sekali gus menggantikan kemudahan pengeluaran sebelumnya iaitu i-Sinar yang tamat pada 30 Jun 2021.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.

 

"Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

 

"Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.

 

Pakej berkenaan bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

 

Pemulih menyaksikan nilai keseluruhan sebanyak RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

 

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, keputusan tersebut adalah sukar kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat.

 

Katanya, penyelesaian i-Citra mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak kini, dan pulangan yang wajar bagi ahli-ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran. - DagangNews.com