Iconic Worldwide sasar hasilkan 17 bilion sarung tangan getah | DagangNews Skip to main content

Iconic Worldwide sasar hasilkan 17 bilion sarung tangan getah

Proses pembinaan kilang terbabit adalah lebih awal berbanding dijadualkan sekali gus membolehkan yarikat memulakan pemasangan mesin pembuatan sarung tangan getah.

 

 

KUALA LUMPUR 1 April - Pembinaan kilang pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE) yang dibangunkan Iconic Worldwide Berhad kini sudah siap 70%, selepas tempoh 100 hari. 

 

Kilang tersebut penting kepada Iconic Worldwide dalam usahanya mempelbagaikan sumber pendapatan sekali gus mampu muncul sebagai peneraju pembuatan sarung tangan getah di dunia dalam tempoh 5 tahun. 

 

Kumpulan juga menetapkan sasaran untuk menghasilkan 17 bilion sarung tangan getah yang menguasai sekitar 5% pasaran global.

 

Pengarah Urusan Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet berkata, proses pembinaan kilang terbabit adalah lebih awal berbanding dijadualkan sekali gus membolehkan yarikat memulakan pemasangan mesin pembuatan sarung tangan.

 

Katanya, kemajuan dalam proses pembinaan ini disokong oleh usaha bersepadu pasukan Iconic Worldwide termasuk perunding, pekerja pembinaan dan pembekal.

 

“Pada awalnya, kami menyasarkan untuk menyiapkan kilang terbabit pada Julai 2021 dan memulakan operasi menjelang September 2021, namun kami menjangkakan ia dapat disempurnakan lebih awal," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Iconic Worldwide merupakan syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia yang terbabit terutamanya dalam industri pelancongan, pembangunan hartanah dan pembuatan PPE.

 

Pada Disember lalu, anak syarikat milik penuhnya, Iconic Medicare mengadakan majlis rasmi pecah tanah bagi kemudahan pengeluaran PPE yang akan dipasang dan memulakan operasi pengeluaran sarung tangan serta pelitup muka pakai buang. 

 

Ia dijangka menghasilkan kira-kira 3.5 bilion keping sarung tangan dan sekitar 220 juta keping pelitup muka setahun.

 

Berdasarkan harga jualan purata ketika ini, kumpulan menjangkakan pengeluaran sarung tangan dan pelitup muka, masing-masing menyumbang pendapatan RM1 bilion dan RM100 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.

 

Dalam pada itu, Kean Tet memberitahu Iconic Worldwide telah memperoleh persijilan CE dan ISO untuk pelitup muka tiga lapis dan sarung tangan nitril, yang mana ia akan membolehkan kumpulan mengeksport produk itu ke luar negara.

 

CE adalah persijilan pentadbiran bagi menunjukkan kesesuaian dalam aspek kesihatan, keselamatan dan piawaian perlindungan alam sekitar bagi produk yang dijual di Kawasan Ekonomi Eropah, manakala ISO pula adalah standard bagi memastikan kualiti serta keselamatan bagi kedua-dua produk dan perkhidmatan untuk dagangan antarabangsa. 

 

"Dengan ini, Iconic Worldwide dan Iconic Medicare kini berada pada kedudukan untuk membantu mengubah Malaysia menjadi pengeksport PPE yang lestari dengan simbol ‘Buatan Malaysia’,” katanya.

 

Menerusi langkah mempelbagaikan perniagaan, kumpulan berharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada segmen pelancongan dan hospitaliti dalam tempoh berkenaan, selain menjana lebih banyak peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi Pulau Pinang dan Malaysia. - DagangNews.com