Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 22 Dis - Iconic Worldwide Berhad menerusi anak syarikatnya, Iconic Medicare Sdn. Bhd. kini boleh mengedar sarung tangan nitril perubatan tanpa serbuk di seluruh Amerika Syarikat (AS) selepas mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada 14 Disember 2021.
Pengarah Urusan Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet berkata, selain FDA, pihaknya juga berjaya mendapatkan sijil Pematuhan Eropah (CE) dan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO) bagi membolehkan mereka mengeksport produknya seperti pelitup muka dan peralatan pelindung diri (PPE) ke seluruh dunia.
"Menurut Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia, permintaan global untuk sarung tangan dijangka mencecah 420 bilion helai tahun depan.
"Matlamat kami adalah untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 5% daripada jumlah permintaan sarung tangan global dalam tempoh 5 tahun dengan sasaran pasaran eksport seperti AS dan Eropah.
“Pada suku ketiga dan keempat tahun kewangan semasa, kami akan menghantar 500 juta keping sarung tangan getah ke AS, Eropah, Afrika, Asia Barat dan Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Januari 2022, Iconic Worldwide juga merancang untuk pembukaan besar-besaran untuk mempamerkan kemudahan pembuatan dan jentera yang bernilai RM200 juta dalam menghasilkan sarung tangan dan topeng muka perubatan yang siap sepenuhnya pada 9 November 2021. - DagangNews.com