ICPT dibimbangi jejaskan dividen, harga saham TNB dalam tempoh terdekat | DagangNews Skip to main content

ICPT dibimbangi jejaskan dividen, harga saham TNB dalam tempoh terdekat

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Sept - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dijangka terus berdepan tekanan aliran tunai ekoran kenaikan harga tenaga yang turut diburukkan lagi dengan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit pada separuh kedua ini. 

 

Setakat ini, TNB sudah menerima RM1.9 bilion bagi kos pemulihan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) daripada keseluruhan RM5.8 bilion, yang mana kerajaan komited untuk memberikan subsidi. 

 

Namun, menurut penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry, dengan kenaikan harga tenaga, pemulihan ICPT yang kurang pulih dijangka terus meningkat pada separuh kedua 2022, walaupun terdapat pemulihan separa ICPT sebanyak RM5.8 bilion pada separuh pertama.

 

Harga arang batu baru-baru ini mencecah rekod baharu pada AS$457 satu tan metrik dan kekal menghampiri paras tersebut setakat ini pada September. 

 

Ini berbanding purata harga arang batu pada AS$221 satu tan metrik yang diiktiraf pada suku kedua 2022 (kurang pulih ICPT suku kedua: RM6.3 bilion) dan AS$166 satu tan metrik pada suku pertama 2022 (kurang pulih ICPT suku pertama: RM3.5 bilion).

 

"Pengukuhan dolar AS secara berterusan berbanding ringgit pada separuh kedua akan terus memburukkan lagi situasi ini.

 

"Kami berpendapat kurang pulih pada separuh kedua kemungkinan melebihi bayaran subsidi ICPT RM5.8 bilion yang akan diterima TNB dalam tempoh yang sama.

 

"Dengan keputusan mengenai baki penghutang ICPT separuh pertama (dengan kurang pulih pada separuh kedua) hanya akan diputuskan menjelang akhir tahun, kami percaya aliran tunai TNB berkemungkinan kekal terhad," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

TNB

 

 

Setakat akhir separuh pertama 2022, penghutang TNB berjumlah RM19 bilion yang mana 63% (atau RM12.1 bilion) adalah terdiri daripada ICPT.

 

Ini terutamanya disebabkan kekurangan pemulihan ICPT yang pada separuh pertama sahaja, berjumlah RM9.8 bilion.

 

Subsidi ICPT sebanyak RM5.8 bilion daripada kerajaan akan mengurangkan penghutang ICPT TNB sebanyak 48%, manakala kutipan surcaj ICPT 3sen/kwj daripada sektor bukan domestik pada separuh kedua ini akan mengurangkan lagi penghutang ICPT dengan anggaran RM1.6 bilion.

 

Dengan itu, jumlah belum terima ICPT pada separuh pertama dijangka berkurangan kepada RM4.7 bilion.

 

Bagaimanapun, Hafriz masih berhati-hati terhadap pembayaran dividen TNB dan mengekalkan hasil dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 3.5% dan 3.6% yang mewakili 40% pembayaran.

 

"Kekangan aliran tunai daripada kekurangan pemulihan kos yang mendalam mungkin menekan pembayaran dividen ke bahagian bawah dasar pembayaran 30% hingga 60% TNB.

 

"Malah, kami juga percaya, ini akan mengurangkan daya tarikan saham dalam jangka terdekat di tengah-tengah kenaikan kadar faedah," jelasnya.

 

Namun, MIDF Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap TNB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM8.45 sesaham. 

 

"Secara dasarnya, kami menyukai insiatif nyahkarbon TNB bagi tempoh jangka masa panjang, tetapi kami menyaksikan 'peralihan yang menyakitkan' buat syarikat utiliti ini dalam tempoh terdekat hingga sederhana. 

 

"Ini disebabkan impak pendapatan daripada pemberhentian awal beberapa loji arang batu dan kecairan pegangan daripada pemerbadanan CCUS dan impak kos berikutan pengenalan harga karbon," katanya.

 

Menurut Hafriz, dalam persekitaran kos input yang meningkat untuk sektor tenaga, pemain industri yang beroperasi dalam pasaran liberal atau penjana bebas (IPP) adalah pertaruhan yang lebih selamat.

 

"Sebagai alternatif, pemain yang beroperasi dalam pasaran elektrik diliberalisasikan juga lebih mampu untuk melalui kos yang lebih tinggi.

 

"Ini memandangkan sifat pasaran bebas pasaran elektrik sedemikian yang memberi gambaran lebih baik tentang kos asas dalam harga pasaran berbanding pasaran terkawal," katanya. 

 

Setakat 10.55 pagi, harga saham TNB susut 7 sen atau 0.8% kepada RM8.69 dengan 980,400 saham diniagakan. -DagangNews.com