IDEAS beri amaran jangan politikkan isu kaum atau agama dalam pembentukan kerajaan | DagangNews Skip to main content

IDEAS beri amaran jangan politikkan isu kaum atau agama dalam pembentukan kerajaan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Nov - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa agar rundingan sesama parti politik untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dilakukan berasaskan dasar dan bukannya pengagihan pelantikan bersifat naungan. 

 

Dalam satu pakatan gabungan parti politik, dijangka kedudukan Kabinet, pengerusi syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan badan berkanun akan diagihkan sebagai satu bentuk ganjaran kepada seramai mungkin wakil-wakil kanan parti. 

 

Sebaliknya, IDEAS menggalakkan parti-parti politik untuk berunding berdasarkan kepada undang-undang dan dasar yang amat diperlukan untuk menangani kedua-dua pembaharuan ekonomi dan institusi pada masa hadapan.

 

 

Tricia Yeoh
Tricia Yeoh

 

 

Mengulas situasi ini, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Dr Tricia Yeoh berkata, membentuk kerajaan campuran adalah agenda paling pentin dan juga perlu berwaspada terhadap penggunaan politik wang dalam proses ini, di mana parti-parti yang lebih kecil harus bijak menggunakan kedudukan dan kuasa penentu. 

 

Malah, katanya, undang-undang penting seperti Akta Pendanaan Politik, Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan, Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan adalah lebih mendesak berbanding sebelum ini.

 

"Maka, kami menantikan untuk melihat parti-parti politik menyatakan pendirian mereka terhadap semua perundangan ini yang benar-benar boleh mengubah pentadbiran," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

istana negara

 

 

Sebelum pukul 2 petang ini, gabungan parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri Ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong.

 

Pilihan raya umum ke15 (RU15) menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

 

Daripada 220 kerusi dipertandingkan, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.

 

Barisan Nasional (BN) yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada PRU14
pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.

 

 

gambar hiasan

 

 

Menurut Yeon, PRU15 telah memberikan Malaysia banyak kejutan menarik dan IDEAS berharap pengakhiran kepada proses ini akhirnya akan memberikan kestabilan politik dan ekonomi yang amat diperlukan oleh Malaysia dalam membuat keputusan dasar yang serius untuk masa depan dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

IDEAS juga katanya, memberi amaran terhadap kaum dan agama yang digunakan secara politik oleh kerajaan yang bakal dibentuk memandangkan Malaysia adalah sebuah masyarakat berbilang etnik dan agama. 

 

"Dengan mengambil kira secara serius keperluan dan jangkaan yang berbeza-beza semua masyarakat etnik dan agama, termasuk yang berada di Sabah dan Sarawak, adalah amat penting untuk visi kerajaan yang menekankan keterangkuman, persefahaman dan empati terhadap satu sama lain. 

 

"Semasa tempoh berkempen, malangnya rakyat Malaysia telah  menyaksikan beberapa mesej berunsur perkauman yang mungkin telah melanggar nilai asas perpaduan dan keharmonian negara," jelasnya. 

 

Pada masa sama, beliau juga memuji sebahagian besar mesej antirasuah yang diberikan ketika kempen PRU15. 

 

Katanya, para pengundi di Malaysia, jelas sekali sudah letih akan budaya rasuah yang tertanam dalam pentadbiran dan ekosistemnya, dan khususnya pengundi Melayu telah memilih untuk menyatakan pendirian dalam isu ini dengan beralih kepada Perikatan Nasional sebagai satu gabungan alternatif. 

 

"Jika kita ingin memulihkan semula kadar pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara, menangani tadbir urus yang baik perlu menjadi keutamaan segera kerajaan.

 

"Selain itu, kami juga menantikan untuk melihat perancangan kukuh berikutan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang akan tamat tempohnya pada 2023," katanya. -DagangNews.com