KUALA LUMPUR 23 Feb. - Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia Berhad akan melanjutkan penggantungan sementara ke atas jualan singkat Intra Hari (IDSS) dan jualan singkat oleh Pedagang Harian Proprietari (Jualan Singkat PDT) sehingga 29 Ogos 2021.
Menurut SC dalam kenyataan, penggantungan sementara IDSS dan Jualan Singkat PDT akan berakhir pada 28 Februari ini.
Ia berkuat kuasa pada 24 Mac 2020 sebagai sebahagian daripada tindakan proaktif pengawal selia untuk mengurangkan potensi risiko yang timbul berikutan meningkatnya turun naik dan ketaktentuan di peringkat global.
"Penggantungan tambahan selama 6 bulan bagi IDSS dan Jualan Singkat PDT, yang digunakan terutamanya sebagai strategi dagangan harian, akan membolehkan Bursa Malaysia meningkatkan langkah-langkah kawalan terhadap aktiviti jualan singkat intra hari untuk meningkatkan kestabilan pasaran dan memperkukuh integriti pasaran modal," katanya.
Dengan lanjutan penggantungan ini, pengecualian sementara yang berkaitan dengan PDT juga akan dilanjutkan sehingga 29 Ogos 2021.
Jelas SC, lanjutan tempoh ini tidak membabitkan Jualan Singkat yang Dikawal Selia (RSS), yang ketika ini masih dijalankan berikutan pemansuhan penggantungannya pada 1 Januari 2021.
"SC dan Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan yang memberi kesan kepada pasaran sekuriti dan menilai kecukupan langkah-langkah yang sedia ada untuk menyokong pasaran yang adil dan teratur serta mengurangkan risiko yang berpotensi," katanya. - DagangNews.com