IFSB lantik Dr. Ghiath Shabsigh sebagai Setiausaha Agung keempat | DagangNews Skip to main content

IFSB lantik Dr. Ghiath Shabsigh sebagai Setiausaha Agung keempat

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Mac - Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) mengumumkan pelantikan Dr. Ghiath Shabsigh sebagai Setiausaha Agung keempat berkuat kuasa 1 April 2024. 

 

Dr. Shabsigh menggantikan Dr. Bello Lawal Danbatta, yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 28 Januari 2024.

 

Sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung IFSB, Dr. Shabsigh berkhidmat sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Monetari dan Pasaran Modal Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

 

Di IMF, Dr Shabsigh memainkan peranan penting dalam memacu inisiatif perbankan pusat dan fintech IMF.

 

Beliau berpengalaman selama 25 tahun dalam bidang kewangan Islam dan Dr Shabsigh memainkan peranan penting dalam menggubal dasar, menganalisis, menyediakan bantuan teknikal serta membentuk institusi antarabangsa.

 

Ini berhubung rangka kerja pengawalseliaan perbankan Islam, operasi perbankan pusat dan sukuk pasaran untuk negara anggota IMF.

 

Dr. Shabsigh berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Kewangan dan Ekonomi Antarabangsa dan Ijazah Sarjana dalam Pembangunan Ekonomi.

 

Pakar kewangan Islam itu juga mempunyai beberapa kelayakan profesional dalam perbankan dan operasi pasaran sekuriti.

 

Pelantikan Dr. Shabsigh sebagai Setiausaha Agung IFSB telah disahkan oleh Majlis IFSB semasa mesyuarat ke-43 di Jeddah, Arab Saudi pada Disember 2023 lalu. 

 

ifsb

 

Dalam tempoh peralihan ini, Suhail Issa Al Zadjali telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Setiausaha.

 

Di bawah bimbingan Dr. Shabsigh, IFSB akan terus mengukuhkan peranannya sebagai badan penetapan piawaian yang penting. 

 

Ia kekal teguh mengukuhkan sektor kewangan Islam dan memajukan inisiatifnya, sejajar dengan keperluan dan aspirasi yang berubah-ubah ahlinya.

 

IFSB baru-baru ini meraikan ulang tahun ke-20 dan mempunyai pangkalan keahlian global sebanyak 191 entiti yang merangkumi 58 bidang kuasa setakat Disember 2023. 

 

Ini termasuk Bank Pembangunan Islam, Bank Pembangunan Asia, Bank untuk Penyelesaian Antarabangsa, Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan Bank Pembangunan Afrika Barat.

 

IFSB merupakan organisasi penetapan piawaian antarabangsa untuk industri perkhidmatan kewangan Islam global.- DagangNews.com