KUALA LUMPUR 26 Jan. - Pameran dan Persidangan Antarabangsa Greentech & Eko Produk (IGEM) 2020 yang dijalankan pada Oktober lalu berjaya menjana potensi pelaburan perniagaan bernilai RM3.4 bilion.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah yang dijana itu adalah yang tertinggi sejak penganjurannya pada 2010.
"IGEM 2020 tetap melakar sejarah tersendiri sebagai platform pameran dan persidangan antarabangsa yang dianjurkan buat pertama kali di Malaysia secara dalam talian dan mengikut norma baharu.
"Jumlah pelaburan kali ini juga dua kali ganda dari jangkaan awal. Daripada RM3.4 bilion, sebanyak RM3.08 bilion menerusi 64 projek adalah pelaburan berpotensi oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
"Manakala, RM339 juta lagi adalah potensi eksport yang direkodkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)," jelasnya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman pencapaian IGEM 2020 secara maya, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr. Zaini Ujang; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud; dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor.
Meskipun penganjuran diadakan secara maya di tengah-tengah pandemik COVID-19, IGEM 2020 merekodkan peningkatan penyertaan syarikat antarabangsa dari 79 negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan negara ke arah teknologi hijau bukan hanya dapat memacu ekonomi
serta kesejahteraan sosial, malah dapat mendorong Malaysia ke arah pembangunan rendah karbon dan lebih manpan dalam menghadapi kesan perubahan iklim.
Kerajaan juga sudah bersetuju agar KASA menyusuli perancangan pembangunan kerangka undang-undang perubahan iklim negara yang holistik dan terangkum di pelbagai peringkat termasuk kerajaan negeri, swasta dan organisasi bukan kerajaan.
Terdahulu, MGTC meletakkan sasaran awal jumlah pelaburan sebanyak RM1.6 bilion melalui IGEM 2020. - DagangNews.com