Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Sept. - MIDF Research mengekalkan unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) pada kadar 2.3% untuk tahun 2021, mencerminkan penyusutan 1.1% berbanding tahun sebelumnya.
Jelas firma itu, faktor utama tekanan harga akan berpunca daripada inflasi tolakan kos memandangkan kekangan bekalan yang berterusan menyebabkan kenaikan input.
“Inflasi Indeks Harga Pengeluar (IHPR) kekal lebih tinggi daripada inflasi IHP, menunjukkan tekanan berterusan ke atas pembekal untuk melepaskan beberapa kenaikan kos kepada pengguna akhir.
“Kami menjangkakan tekanan ke atas kos akan berterusan kerana gangguan daripada pandemik global yang mencetuskan cabaran rantaian bekalan.
“Sementara itu, harga komiditi dan minyak mentah yang tinggi akan menyokong inflasi dalam harga pengangkutan, walaupun kadar kenaikan itu terencat oleh had yang dikenakan ke atas harga petrol dan diesel,” ujar MIDF dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
IHP menunjukkan peningkatan 2.0% tahun ke tahun pada bulan Ogos 2021 kepada 122.5 berbanding 120.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
IHP merekodkan kenaikan untuk bulan ketujuh berturut-turut semenjak Februari 2021 disebabkan oleh kesan asas pada tahun lepas.
Di peringkat global, kata MIDF, perubahan kadar inflasi berbeza-beza mengikut negara, tetapi kebanyakan ekonomi menyaksikan trend menaik.
Dalam kalangan negara ASEAN, Filipina dan Indonesia mencatatkan inflasi lebih tinggi dari segi harga IHP, sementara kadar itu menyusut sedikit di Singapura.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan tekanan ke atas harga umum berterusan akibat inflasi tolakan kos kerana peningkatan dalam harga input ekoran kekurangan material, lonjakan harga gas dan komoditi,” jelas MIDF lanjut. - DagangNews.com