Pelancaran Hab DHL Applied Analytics (DAA) diadakan secara maya hari ini.
KUALA LUMPUR 13 Julai - Iskandar Investment Bhd. (IIB) dengan kerjasama DHL melancarkan penubuhan Hab DHL Applied Analytics (DAA) pertama di Malaysia yang terletak di Medini 6, Iskandar Puteri.
Hab ini merupakan pejabat pertama DHL di luar Singapura yang bertujuan menjalankan mesyuarat pembangunan dan rangkaian bagi mewujudkan projek analitik canggih untuk pelanggan dan syarikat DHL berpusat di Iskandar Malaysia.
Penubuhan hab ini juga membabitkan kerjasama dengan Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad menyifatkan penubuhan hab ini di Medini melengkapi ekosistem pembangunan perniagaan di Iskandar Puteri.
Katanya, memandangkan data menjadi sumber bernilai dalam ekonomi global, DHL akan menempatkan saintis data yang berpengalaman bagi membantu melatih pembangunan bakat tempatan dari UTM di samping menyediakan penyelesaian analisis data kepada para pelanggannya.
"Ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi 5,000 peluang pekerjaan yang dihasilkan sejak IIB ditubuhkan pada 2006.
"Sehubungan itu, kami amat berbesar hati dengan penubuhan platform ini yang akan mendedahkan bakat tempatan kepada bimbingan dalam analsis data yang begitu penting kepada pembinaan ekosistem digital di Medini," katanya dalam kenyataan sempena pelancaran hab DAA hari ini.
Pelancaran secara maya ini turut dihadiri Naib Presiden Pusat Inovasi Asia Pasifik, Justin Baird; Naib Cancelor UTM, Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail dan Ketua Saintis Data dan Ketua Data Sains Pusat Inovasi DHL, Prerit Mishra.
Penubuhan hab ini adalah yang ketiga di Medini selepas Pusat Kecemerlangan Global (bagi Inovasi) beroperasi pada 2018 diikuti DHL Global Forwarding di Medini 9 pada 2021.
Di sebalik ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19, IIB berusaha untuk memastikan Iskandar Puteri kekal menjadi destinasi pelaburan menarik dalam pelbagai sektor.
Malah, penubuhan hab DAA ini mencerminkan sokongan DHL bagi memenuhi pertumbuhan permintaan serantau terhadap penyelesaian rangkaian analitik dan membolehkan DHL memanfaatkan kekuatannya terhadap Iskandar Malaysia untuk mendekati pelanggannya di Malaysia.
Kerjasama antara IIB dan DHAL ini bertujuan untuk menyumbang kepada visi IIB membina masa depan metropolis yang inklusif dan lestari. -DagangNews.com