KUALA LUMPUR 23 Nov - IJM Land Berhad berpegang teguh pada misi mereka untuk menyediakan kediaman yang selesa untuk golongan kurang berkemampuan dan mereka telah mengejutkan lima sekeluarga yang tinggal di Seremban dengan rumah yang telah diubah suai sepenuhnya melalui Program Pemulihan Rumah (myHome) tahunan mereka.
Diketuai oleh Pengurus Besar Kanan IJM Land, Chai Kian Soon, program amal tersebut kini kembali untuk tahun ke-13 untuk meningkatkan kehidupan seorang ibu tunggal berusia 42 tahun, Wan Chew Liean.
Dia dibelenggu kesusahan setelah kematian suami secara tiba-tiba akibat kegagalan jantung dan paru-paru pada tahun 2020. Kini, Wan berusaha membesarkan empat orang anaknya hanya dengan pendapatan sebagai pengedar surat khabar.
Walaupun menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Wan masih tidak mampu menampung perbelanjaan membaiki rumahnya yang rosak akibat ribut dan serangan anai-anai.
Chai berkata, kali pertama bertemu Wan sekeluarga adalah semasa program amal Tahun Baru Cina IJM Land pada tahun 2021.
"Ketika itulah kami mendapati bahawa Puan Wan dan anak-anak menghuni rumah yang usang dan kami bertekad untuk melakukan sesuatu untuk memastikan mereka sekeluarga menduduki di rumah yang selamat.
"Kediaman yang bukan sahaja selesa namun juga lengkap dengan keperluan asas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Senyuman terukir di wajah Wan dan keluarganya apabila mereka melihat rumah usang mereka telah diubah suai menjadi serba baharu.
Kerja-kerja pembaikan oleh IJM Land yang mengambil masa satu setengah bulan melibatkan kerja mengecat, membaiki dan menggantikan bumbung baru, menyediakan tandas yang serba lengkap dengan pemasangan tangki septik dengan paip bawah tanah, membaiki dinding kayu luaran dan menggantikannya dengan papan pasir simen, memasang longkang konkrit, dan pagar pautan rantai dengan pintu pagar.
IJM Land turut menghadiahkan barangan keperluan lain kepada Wan sekeluarga, termasuk komputer untuk pembelajaran kanak-kanak, barangan elektrik, barangan runcit serta pelitup muka untuk mengurangkan beban mereka.
Selain itu, pemaju hartanah itu juga mendapat sokongan besar daripada rakan kongsinya, termasuk Golden Hover Group of Companies yang menyumbang barangan perabot bernilai RM3,500, FWT Construction Sdn Bhd, Jotun Paints (Malaysia) Sdn Bhd dan Midas Touch PTL.
“Matlamat kami adalah untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada mereka yang berada dalam kesusahan. Oleh itu, kami di IJM Land bersama-sama rakan kongsi berganding bahu untuk menjayakan projek ini demi merealisasikan impian mereka yang sangat memerlukan.
"Kami berterima kasih kepada rakan kongsi kami untuk sokongan dan sumbangan mereka yang telah membawa kebaikan yang tidak terhingga kepada banyak keluarga yang kurang bernasib baik di Seremban,” kata Chai. - DagangNews.com