Ikhlas rancang teroka pasaran Indonesia bagi kembangkan pakej umrah, pelancongan halal | DagangNews Skip to main content

Ikhlas rancang teroka pasaran Indonesia bagi kembangkan pakej umrah, pelancongan halal

KUALA LUMPUR 20 Okt - Platform pengembaraan dan gaya hidup mesra Muslim Capital A iaitu Ikhlas, merancang untuk meneroka pasaran Indonesia tahun depan dengan mengembangkan pakej umrah dan pelancongan halalnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas, Ikhlas Kamarudin berkata syarikat itu menjangka permintaan yang besar di Indonesia, dan menjangkakan untuk melancarkan produknya di sana pada awal Mei 2023.

 

“Saya rasa kita perlu menyediakan sedikit lagi produk sebelum kita memasuki pasaran Indonesia. Kami hampir sampai. Menjelang tahun depan, mudah-mudahan sebelum Ramadan atau mungkin menjelang Ramadan, kami akan melancarkan produk kami di sana,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran platform Ikhlas di sini hari ini.


 

Ikhlas Kamarudin

 


Beliau berkata, Ikhlas menyasarkan untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu juta pengguna dalam tempoh setahun selepas pelancaran.

 

Ikhlas memulakan perniagaan pada April 2020, dan mengambil peluang masa henti semasa pandemik COVID-19 untuk mempercepatkan perkembangannya menjadi platform perjalanan dan gaya hidup mesra Muslim airasia Super App yang lengkap.

 

Didorong oleh penyambungan semula penerbangan AirAsia X ke Jeddah dan banyak destinasi lain, Ikhlas kini menawarkan banyak pakej umrah dan pelancongan lain.

 

Perkhidmatan lain yang tersedia di platform Ikhlas termasuk akses digital kepada amalan berasaskan akidah, seperti qurban dan zakat, serta perkhidmatan gaya hidup patuh syariah lain, termasuk aqiqah, fidyah dan sedekah.

 

“Selain pakej umrah siap sedia yang kami tawarkan pada masa ini, kami juga akan memperkenalkan pilihan perjalanan dan umrah yang lebih fleksibel, lakukan sendiri, di mana pengembara boleh menyesuaikan perjalanan mereka dengan memilih penerbangan, hotel, aktiviti dan tambahan lain mereka. yang disusun khusus untuk orang Islam,” kata Ikhlas. - DagangNews.com