IMF semak naik unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.4% tahun ini di sebalik kelembapan global | DagangNews Skip to main content

IMF semak naik unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.4% tahun ini di sebalik kelembapan global

Lebih banyak kejutan harga tenaga dan makanan mungkin menyebabkan inflasi berterusan lebih lama. - Gambar : Ryoji Iwata/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Okt - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini kepada 5.4% daripada 5.1% sebelum ini menerusi laporan Prospek Ekonomi Dunia bagi Oktober 2022. 

 

Unjuran terkini itu berada dalam julat paling rendah seperti dijangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) antara 5.3% hingga 6.3% bagi 2022. 

 

Dalam laporan yang dikeluarkan 11 Oktober itu, badan antarabangsa itu bagaimanapun mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global tahun ini lebih perlahan kepada 3.2% berbanding 6% pada 2021. Pada 2023, pertumbuhan ekonomi global dijangka sekitar 2.7%.

 

"Ini adalah profil pertumbuhan paling lemah sejak 2001 kecuali untuk krisis kewangan global dan fasa akut pandemik COVID-19 yang mencerminkan kelembapan ketara bagi ekonomi terbesar.

 

"Ia berikutan penguncupan KDNK Amerika Syarikat (AS) pada separuh pertama 2022, penguncupan kawasan Euro pada separuh kedua 2022, wabak dan penutupan ekonomi akibat situasi COVID-19 yang berpanjangan di China dengan krisis sektor hartanah juga semakin meningkat," katanya dalam laporan itu di laman webnya.

 

IMF mendapati kira-kira satu pertiga daripada ekonomi dunia berdepan dengan pertumbuhan negatif selama dua suku berturut-turut.

 

Inflasi global dijangka meningkat daripada 4.7% pada 2021 kepada 8.8% pada 2022 tetapi menurun kepada 6.5% pada 2023 manakala 4.1% menjelang 2024.

 

"Kejutan kenaikan inflasi adalah paling meluas dalam kalangan ekonomi maju, dengan kebolehubahan yang lebih besar dalam pasaran baharu muncul dan ekonomi membangun," jelasnya.

 

Menurutnya, risiko kepada prospek kekal luar biasa secara meluas dan menurun dengan dasar monetari mungkin disalah kira sebagai pendirian yang betul untuk mengurangkan inflasi.

 

Jelasnya, laluan dasar dalam ekonomi terbesar boleh terus menyimpang, membawa kepada peningkatan nilai dolar AS dan ketegangan rentas sempadan.

 

"Lebih banyak kejutan harga tenaga dan makanan mungkin menyebabkan inflasi berterusan lebih lama," katanya.

 

Agensi itu berkata, keutamaan dasar fiskal ialah melindungi kumpulan paling terjejas melalui sokongan jangka pendek yang disasarkan untuk meringankan beban krisis kos sara hidup yang dirasai di seluruh dunia.

 

"Tetapi, pendirian keseluruhannya harus kekal cukup ketat untuk mengekalkan dasar monetari pada sasaran," tambahnya. -DagangNews.com