KUALA LUMPUR 15 Feb - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Telekom Malaysia Bhd. (TM) dengan harga sasaran pada RM6.91 memandangkan penerimaan peruntukan spektrum hanya memberi impak yang terhad kepada pendapatan kumpulan.
Malah, firma itu turut mengesyorkan para pelabur supaya mengekalkan pendedahan mereka terhadap TM, kerana peranannya sebagai pemain talian tetap di Malaysia dan meraih peluang yang lebih baik dalam inisiatif MyDigital.
Ia menganggarkan kedudukan imbangan tunai TM paling kurang terjejas dengan bayaran yuran daripada peruntukan spektrum tersebut berbanding 3 syariket telekomunikasi lain iaitu Celcom Axiata Bhd., Maxis Bhd. dan Digi.com Bhd.
Ini kerana katanya, TM mempunyai nisbah gearan bersih yang lebih rendah pada 0.53x berbanding Celcom (0.61x), Maxis (1.31x) dan Digi (7.11x).
"Impak terhadap pendapatan juga terhad kerana kami menganggarkan bayaran yuran tahunan hanya membabitkan 1.1% daripada anggaran pendapatan.
"Sehubungan itu, kami tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY220)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, TM menerusi anak syarikatnya, Webe Digital Sdn. Bhd. menerima tawaran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk peruntukan spektrum bagi 20MHz dalam frekuensi jalur 2,575MHz hingga 2,595MHz.
Webe telah bersetuju dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM7.06 juta dan komponen yuran tahunan sebanyak RM5.98 juta untuk dibayar sepanjang tempoh peruntukan ini.
Terdahulu, pada Jumaat lalu, Celcom, Maxis dan Digi telah menerima tawaran daripada MCMC) untuk peruntukan spektrum berkenaan.
Tempoh berkuat kuasa untuk peruntukan spektrum itu bermula 1 Julai untuk tempoh 5 tahun dengan yuran sekali sahaja sebanyak RM11.76 juta perlu dibayar sebelum 12 tengah hari, 14 Februari dan komponen yuran tahunan ditetapkan sebanyak RM20.76 juta perlu dibayar sebelum 15 Disember setiap tahun sepanjang tempoh sah peruntukan spektrum itu.
Secara keseluruhan, MIDF Research positif terhadap penerimaan spektrum ini kerana peningkatan kapasiti membolehkan TM menyediakan akses tetap dan tanpa wayar yang lancar, dan kandungan kepada pelanggan runcit dan perusahaannya di rumah, pejabat atau semasa bergerak, menyelaraskan misinya untuk memulakan ruang digital yang dinamik.
"Beserta infrastruktur gentian TM yang kukuh dan luas, spektrum ini juga membolehkan pengembangan perkhidmatan telekomunikasi pada masa hadapan kepada pelanggan, untuk pengalaman konvergens hujung ke hujung," tambahnya.
Ini membolehkan firma itu menjangkakan TM akan merekodkan pertumbuhan hasil yang kukuh dalam beberapa tahun akan datang merentasi Unifi, TM One dan TM Wholesale.
Setakat 12.22 tengah hari ini, harga saham TM menokok 5 sen atau 0.95% kepada RM5.34 dengan 923,800 saham diniagakan. - DagangNews.com