Impak PKP 2.0 dijangka lebih teruk buat Petronas Dagangan | DagangNews Skip to main content

Impak PKP 2.0 dijangka lebih teruk buat Petronas Dagangan

Petronas Dagangan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Prestasi jualan syarikat Petronas Dagangan Berhad (PetDag) dijangka terganggu susulan pelaksanaan PKP 2,0 bermula Januari hingga Mac 2021.

 

MIDF Research berkata, jangkaan itu dibuat hasil taklimat bersama pihak penganalisis PetDag yang dijalankan secara maya semalam.

 

"Daripada taklimat tersebut, kami dapati bahawa jumlah jualan PetDag sekali lagi akan terkesan oleh pelaksanaan PKP 2.0 pada bulan Januari.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan PKP 2.0 akan memberi kesan yang lebih teruk berbanding PKP pertama pada Mac 2020 kerana harga purata jualan (ASP) telah melebihi AS$60pb pada kali ini.

 

"Susulan itu, kami menjangkakan jumlah jualan runcit pada tahun kewangan 2021 secara keseluruhannya akan menurun sebanyak -2.0%," jelas MIDF Research.

 

Dalam pada itu, ASP yang lebih tinggi pada suku pertama tahun kewangan 2021 dilihat mampu mengimbangi kesan penurunan jualan pada suku tersebut.

 

Ujar MIDF Research, ia kerana harga 'Mean of Platts Singapore' (MOPS) mengalami kenaikan dalam tempoh beberapa minggu kebelakang susulan penurunan inventori minyak mentah di seluruh dunia.

 

"Kami juga positif terhadap usaha PetDag dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan tambahan lain yang mampu menyekat penurunan perniagaan bahan bakar.

 

"Kedai MESRA telah diperluas merangkumi Makan@MESRA yang kini tersedia di 11 stesen di Lembah Klang serta Deliver2ME yang dirancang menjadi penyumbang kepada pendapatan bukan bahan bakar," kata MIDF Research.

 

Pendaftaran penggunaan SETEL juga menyaksikan peningkatan kepada 2.0 juta orang pengguna pada suku keempat tahun kewangan 2020 berbanding 1.6 juta pengguna pada suku sebelumnya.

 

Pertumbuhan jumlah dan margin daripada transaksi SETEL masing-masing meningkat lebih 100% dan lebih 80% pada suku ketiga 2020 berbanding suku kedua 2020. - DagangNews.com