Import lembu, kerbau dari Thailand digantung serta-merta | DagangNews Skip to main content

Import lembu, kerbau dari Thailand digantung serta-merta

Lumpy Skin Disease (LSD)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Jun - Pengimportan lembu dan kerbau dari negara Thailand digantung berkuat kuasa serta-merta.

 

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berkata, ketetapan itu dibuat bagi membendung risiko penularan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) daripada negara Thailand demi kepentingan industri penternakan ruminan negara.

 

"JPV menyeru semua pemain industri (pengimport, peraih dan penternak) memberi kerjasama dengan membatalkan tempahan (sekiranya ada) dengan pihak pembekal lembu dan kerbau di Thailand.

 

"Pemain industri juga dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa Veterinar di negeri dan daerah berdekatan sekiranya terdapat lembu dan kerbau di ladang/kandang menunjukkan gejala jangkitan LSD untuk tindakan kawalan dan pencegahan," jelas JPV dalam satu kenyataan hari ini.

 

.

 

Penyakit LSD dilaporkan telah menular kepada lebih 41 province (wilayah) di negara Thailand.

 

Baca: COVID-19 belum reda, kini Malaysia berdepan penyakit kulit lembu

 

Tambah JPV, meskipun penyakit LSD tidak zoonotik (tidak menjangkiti manusia), ia berisiko memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan ruminan dan kerugian akibat penurunan berat badan, penurunan pengeluaran susu, keguguran dan kemandulan pada ternakan yang dijangkiti.

 

"Sebagai usaha membanteras kemungkinan penyeludupan lembu dan kerbau daripada negara Thailand, JPV mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) untuk mempertingkatkan kawal selia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

 

"Kerjasama pihak berkuasa KASTAM dan MAQIS untuk mempertingkatkan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi menghalang kemasukan lembu dan kerbau daripada negara Thailand," tambah JPV. - DagangNews.com