Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Nov. - Pasaran tempatan petang ini susut 4.99 mata kepada 1,570.08 mata walaupun perkembangan vaksin COVID-19 meningkatkan keyakinan ke arah pemulihan ekonomi secara global.
Indeks FBM KLCI itu yang bergerak dalam jajaran 1,550.44 hingga 1,572.69 mata menyaksikan 14.48 bilion saham bertukar tangan bernilai RM5.95 bilion.
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi pada 654 berbanding 573 manakala 426 kaunter tidak berubah.
Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.1280/1330 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan semalam, RM4.1180/1230.
Pagi ini, mata wang tempatan itu dibuka hampir tidak berubah pada paras RM4.1190/1230 berbanding dolar AS.
TA Securities dalam nota kajiannya berkata, walaupun saham-saham melonjak berikutan meningkatnya potensi ke arah pemulihan ekonomi susulan laporan mengenai vaksin COVID-19, tetapi kenaikan mendadak ini akan terdedah kepada pengambilan keuntungan seiring meningkatnya momentum pembelian yang melampau.
Menurut CGS-CIMB, tiga saham utama akan meraih manfaat daripada pengumuman Pfizer dan BioNtech semalam iaitu Public Bank Bhd, Genting Group dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
"Dengan meningkatkan keinginan terhadap vaksin ini, ia menyebabkan pelabur beralih daripada saham-saham berkaitan syarikat yang memberi manfaat kepada saham-saham berkaitan pemulihan.
"Ini akan menyaksikan potensi kenaikan harga saham lebih tinggi," katanya.
Menurut Reuters yang memetik pakar strategi National Australia Bank, Rodrigo Catril berkata, penggiliran akan berlaku di pasaran ekuiti memandangkan pelabur mengambil petunjuk dari berita mengenai kemajuan vaksin COVID-19.
"Bagaimanapun, syarikat teknologi besar mendapat kelebihan daripada perubahan tingkahlaku yang didorong virus ini kembali tidak disukai, manakala saham-saham kecil akan terus dipengaruhi sekatan jarak sosial yang dilaksanakan," katanya.
Di peringkat domestik, Bank Negara Malaysia akan mengumumkan prestasi ekonomi suku ketiga Jumaat ini, dengan kemungkinan menguncup dalam kadar perlahan, menurut kaji selidik Reuters melibatkan 15 penganalisis ekonomi.
Ekonomi negara dijangka menguncup 3.2% bagi tempoh Julai hingga September berbanding tempoh sama tahun lalu, tetapi lebih baik jika dibandingkan penguncupan 17.1% pada suku sebelumnya. - DagangNews.com