Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Okt. - Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan pada September 2020 jatuh 3.9% berbanding -2.8% pada Ogos lalu.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia merupakan penurunan untuk tujuh bulan berturut-turut sejak Mac 2020.
"Penurunan keseluruhan IHPR pengeluaran tempatan disebabkan oleh penurunan indeks perlombongan (-43.2%), pembuatan (-1.3%) serta bekalan elektrik dan gas (-0.9%).
"Sebaliknya, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan serta bekalan air masing-masing meningkat sebanyak 19.3% dan 1.0%," jelasnya dalam laporan IHPR yang dikeluarkan DOSM hari ini.
Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan turun 0.5% pada September 2020 setelah mencatatkan peningkatan 1.0% pada Ogos 2020.
Penurunan tersebut disebabkan oleh penyusutan bagi indeks perlombongan (-9.1%) dan pembuatan (-0.2%).
Bagaimanapun, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan, bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat 2.5%, 0.3% dan 0.1%.
IHPR pengeluaran tempatan bagi tempoh Januari hingga September 2020 mencatatkan penurunan 2.6% berbanding penurunan 2.0% pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, IHPR pengeluaran tempatan pada suku tahun ketiga 2020 turun 3.4% kepada 101.2 berbanding 104.8 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.
Penurunan disumbangkan oleh indeks perlombongan (-38.0%), bekalan elektrik dan gas (-1.4%) serta pembuatan (-1.1%).
Sementara itu, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan serta bekalan air masing-masing merekodkan peningkatan 16.5% dan 0.4%.
Bagi perbandingan suku tahunan, IHPR pengeluaran tempatan naik 1.2% berbanding penurunan 5.0% pada suku tahun kedua 2020.
"Berbanding bulan yang sama tahun lalu, kesemua peringkat pemprosesan menunjukkan penurunan. Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya turun 13.2% diikuti bahan perantaraan, bekalan dan komponen (-2.0%) serta barang siap (-1.1%).
"Perbandingan bulan ke bulan menunjukkan perubahan negatif indeks diperhatikan dalam dua peringkat pemprosesan iaitu bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (-2.0%) dan barang siap (-0.8%). Sebaliknya bahan perantaraan, bekalan dan komponen naik 0.1 %," jelasnya lagi. - DagangNews.com