Indeks Harga Pengeluar turun -3% pada April 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengeluar turun -3% pada April 2023 - DOSM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 29 Mei - Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia merosot kepada -3% pada April 2023 daripada -2.9% pada Mac 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

 

Penguncupan IHPR bagi April disebabkan terutamanya oleh penurunan dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan serta perlombongan, kata DOSM dalam satu kenyataan hari ini.

 

Jabatan itu berkata sektor pertanian, perhutanan dan perikanan terus menunjukkan trend negatif selama sepuluh bulan berturut-turut, merekodkan -26% berbanding -28.7% pada Mac.

 

Sementara itu, sektor perlombongan turut mencatatkan penurunan -4.7% pada April 2023 berbanding -11.5% pada bulan sebelumnya, kesan kejatuhan indeks pengekstrakan petroleum mentah -12.5%.

 

Pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan marginal 0.2% pada April 2023 berbanding 0.3% pada bulan sebelumnya.

 

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 0.8%, disebabkan peningkatan dalam indeks penanaman tanaman kekal (1.1%), manakala sektor perlombongan mencatatkan peningkatan 0.5%, seiring dengan peningkatan indeks pengekstrakan petroleum mentah (1.5%).

 

Sektor pembuatan pula mencatatkan peningkatan perlahan 0.1%, disebabkan oleh indeks pembuatan produk makanan (0.9%) dan pembuatan kimia dan produk kimia (0.7%). 

 

 

dosm

 

 

Sementara itu, sektor bekalan elektrik dan gas turun kepada -0.6% berbanding 0.5% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, manakala sektor bekalan air kekal tidak berubah.

 

DOSM turut menjelaskan bahawa ketidaktentuan harga terutamanya dalam tenaga dan produk makanan memberi kesan kepada indeks harga pengeluar di kebanyakan negara.

 

IHPR Amerika Syarikat meningkat 2.3% selepas peningkatan 2.7% pada Mac 2023, yang boleh dilihat pada permintaan makanan akhir terutamanya dalam indeks buah-buahan segar dan tembikai serta telur untuk kegunaan segar, lapor Bernama.

 

Walau bagaimanapun, inflasi pengeluar India turun -0.9% (Mac 2023: 1.3%) pertama kali sejak Julai 2020, manakala harga pengeluar China pula turun -3.6% berbanding -2.5% pada bulan sebelumnya. - DagangNews.com