Indeks Harga Pengguna pada Februari meningkat 0.1% | DagangNews Skip to main content

Indeks Harga Pengguna pada Februari meningkat 0.1%

 

 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Februari 2021 meningkat 0.1% kepada 122.5 berbanding 122.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan IHP keseluruhan didorong kenaikan indeks Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (1.6%); Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.4%); Minuman Alkohol & Tembakau (0.7%); Kesihatan (0.7%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.3%); Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.1%) dan Pendidikan (0.1%).

 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, indeks terbabit menyumbang 50.7%s kepada keseluruhan wajaran.

 

Daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 326 item menunjukkan peningkatan pada Februari 2021. Sebaliknya, 147 item mencatatkan penurunan manakala 79 item tidak berubah.

 

Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, Barang Tidak Tahan Lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 201 item, 79 item menurun dan 16 item tidak berubah berbanding kategori Perkhidmatan, Barang Semi Tahan Lama dan Barang Tahan Lama.

 

Bagaimanapun, Pengangkutan menurun 2.0% kepada 111.6 berbanding 113.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Kumpulan ini menyumbang 14.6% daripada keseluruhan wajaran IHP.

 

"Selain itu, indeks Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain turut menunjukkan penurunan 0.8% dan diikuti oleh Pakaian & Kasut (-0.4%) dan Restoran & Hotel (-0.3%)," kata beliau.

 

Menurutnya, IHP bagi tempoh Januari hingga Februari menurun 0.1% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

"Bagi perbandingan bulanan, IHP turut meningkat 0.3% berbanding Januari 2021.

 

"Peningkatan ini telah disumbangkan oleh Pengangkutan (2.3%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (0.2%) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.2%)," katanya. - DagangNews.com