Indeks kos bahan binaan bangunan meningkat sehingga 24.4% pada Julai 2022 | DagangNews Skip to main content

Indeks kos bahan binaan bangunan meningkat sehingga 24.4% pada Julai 2022

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) tanpa bar keluli dan termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Julai 2022 meningkat antara 0.3 hingga 24.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

 

Bagi tempoh tersebut, indeks kos binaan di Semenanjung Malaysia meningkat di antara 5.5 dan 18.8 peratus manakala Sabah di antara 0.3 dan 15.5 peratus dan Sarawak di antara 5.6 dan 24.4 peratus.

 

"Perbandingan bagi tempoh Julai 2021 dan Julai 2022 menunjukkan IKB dengan bar keluli meningkat bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Semenanjung Malaysia ialah bangunan (konkrit bertetulang) 5 tingkat dan lebih (untuk pejabat) di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan. 

 

Sementara itu, kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Sabah dan Sarawak ialah cerucuk (konkrit bertetulang) di Sandakan dan Miri.

 

IKB tanpa bar keluli meningkat di antara 5.5 dan 14.1 peratus untuk semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia bagi tempoh Julai 2021 dan Julai 2022. 

 

 

Sumber : Jabatan Perangkaan Malaysia

 

 

Kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Semenanjung Malaysia ialah bangunan (konkrit bertetulang) 5 tingkat dan lebih (untuk pejabat) di Pahang, diikuti cerucuk konkrit bertetulang di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. 

 

Untuk kategori bangunan yang merekodkan peningkatan tertinggi di Sabah ialah kerangka besi 1 tingkat (menara sahaja) di Sandakan manakala Sarawak adalah kerangka besi 1 tingkat (bangunan) di Miri.

 

Jabatan Perangkaan berkata, indeks harga seunit bahan binaan meningkat antara 5.3 peratus hingga 15.5 peratus bagi Julai 2022 berbanding setahun yang lalu. 

 

Ia menyaksikan indeks harga bagi seunit besi dan keratan keluli dan logam telah meningkat masing-masing 15.8 peratus dan 13.5 peratus bagi tempoh tersebut.

 

Perbandingan bulanan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih menunjukkan penurunan indeks harga seunit bagi besi untuk semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak kecuali di Miri (1.3%) dan Sibu (1.4%). 

 

Penurunan indeks harga seunit bagi keratan keluli dan logam antara 0.2 hingga 3.4 peratus bagi semua kawasan kecuali bagi Pahang, Kota Kinabalu dan Sibu.

 

Bagaimanapun, menurutnya, terdapat bahan binaan lain di beberapa kawasan yang tidak berubah. 

 

Antara bahan tersebut ialah bahan bumbung bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, konkrit sedia bancuh di semua kawasan di Sabah, pasir dan kayu di semua kawasan di Sarawak.

 

Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan mycon 60 high tensile deformed bars meningkat 12.9 peratus dengan harga purata RM3,879.48 setiap tan metrik berbanding tahun sebelumnya (Julai 2021: RM3,435.24 per tan metrik). 

 

Simen mencatatkan peningkatan sebanyak 11.7 peratus pada Julai 2022 dengan RM20.99/50 kilogram (kg) berbanding RM18.89/50 kg pada Julai 2021. 

 

"Namun begitu, peningkatan harga bagi kedua bahan ini adalah lebih perlahan berbanding Jun 2022," katanya. - DagangNews.com