Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Okt. - Indeks kos bahan binaan (IKB) tanpa dan termasuk bar keluli bagi hampir semua kategori bangunan pada September 2020 rata-rata menyaksikan peningkatan antara 0.1% hingga 0.4% berbanding bulan lalu.
Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, IKB (tanpa bar keluli) di semenanjung Malaysia untuk kawasan A (Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), B (Perak) dan E (Pahang) meningkat antara 0.1% dan 0.3% bagi hampir semua kategori bangunan.
Sebaliknya, IKB di kawasan D (Johor) dan F (Terengganu dan Kelantan) menurun antara 0.1% dan 0.3%, manakala kawasan C (Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan) kekal seperti pada bulan sebelumnya.
“IKB di Kuching menurun antara 0.1% dan 0.2% bagi hampir semua kategori bangunan. IKB di Sibu dan Miri pula meningkat antara 0.1% dan 0.5% bagi hampir semua kategori bangunan.
“Namun begitu, penurunan 0.3% berlaku di Miri bagi Cerucuk,” kata beliau dalam ‘Siaran Khas 2 (Untuk Kerja-Kerja Pembinaan Bangunan dan Struktur) September 2020’.
Sementara itu, IKB (termasuk keluli) di semenanjung Malaysia untuk kawasan A dan B meningkat antara 0.1% dan 0.4% bagi hampir semua kategori bangunan.
Sebaliknya, IKB di kawasan D, E dan F menurun antara 0.1% dan 0.4%.
“IKB di Kuching menurun antara 0.1% dan 0.3% bagi hampir semua kategori bangunan.
“IKB di Sibu dan Miri meningkat antara 0.1% dan 0.5% bagi hampir semua kategori bangunan.
“Namun begitu, penurunan 0.1% berlaku di Miri bagi Cerucuk,” tambah Mohd. Uzir. - DagangNews.com