Indeks nilai seunit eksport Malaysia susut 0.9% pada Disember 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks nilai seunit eksport Malaysia susut 0.9% pada Disember 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Indeks nilai seunit eksport Malaysia jatuh 0.9% kepada 148 mata pada Disember 2023 berbanding 149.3 mata dalam bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Indeks nilai seunit import turun 1% kepada 129.6 mata daripada 130.9 mata manakala terma perdagangan Malaysia sebaliknya meningkat 0.1% bulan ke bulan kepada 114.6 mata.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan indeks nilai seunit eksport pada  Disember 2023 berbanding bulan sebelumnya adalah disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-3.6%), minyak galian (-2.4%) dan barang-barang keluaran kilang (-0.5%).

 

"Pada masa sama, indeks volum eksport susut 1.8% selaras dengan penyusutan indeks minyak galian (-14.8%), makanan (-8%) dan bahan kimia (-3.9%)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, indeks volum eksport pelarasan bermusim merosot 9.3% daripada 155.4 mata kepada 140.9 mata.

 

Merujuk kepada perbandingan tahunan katanya, indeks nilai seunit naik 2.4% manakala indeks volum jatuh 12%.

 

"Indeks nilai seunit import menurun 1% pada Disember 2023 pula disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-4.5%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.5%) dan bahan kimia (-0.5%).

 

 

DOSM

 

 

"Selain itu, indeks volum import turut turun 1.6% pada Disember 2023 berbanding bulan sebelumnya, didorong oleh kejatuhan dalam indeks bahan kimia (-6.3%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-3.8%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-1.2%)," katanya.

 

Katanya, indeks volum import pelarasan bermusim pula naik 0.2% daripada 188.1 mata kepada 188.4 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import menyusut 0.3% manakala indeks volum bertambah 3.4%.

 

Mohd Uzir berkata, terma perdagangan Malaysia meningkat 0.1% bulan ke bulan kepada 114.6 mata pada Disember 2023, dipacu oleh peningkatan indeks minyak galian (2.2%), makanan (+0.9%) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (+0.8%).

 

"Begitu juga, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun berkembang 2.7% daripada 111.6 mata pada Disember tahun lalu," katanya. - DagangNews.com