Indeks nilai seunit eksport Oktober meningkat 0.2%, import susut 0.2% | DagangNews Skip to main content

Indeks nilai seunit eksport Oktober meningkat 0.2%, import susut 0.2%

Indeks nilai seunit eksport

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Indeks nilai seunit eksport menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 0.2% daripada 110.5 mata kepada 110.7 mata pada Oktober 2020.

 

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tersebut didorong oleh kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+5.3%), barang-barang keluaran kilang (+0.4%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.2%).

 

"Indeks volum eksport juga menunjukkan kenaikan 2.2% daripada 151.3 mata kepada 154.6 mata yang disumbangkan oleh peningkatan indeks bahan mentah tidak boleh dimakan (+11.6%), pelbagai barang keluaran kilang (+7.4%) dan minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+6.2%).

 

"Indeks volum eksport pelarasan bermusim mencatatkan penyusutan 6.8% daripada 155.2 mata kepada 144.6 mata.

 

"Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit eksport jatuh 4.7% manakala indeks volum eksport naik 5.2%," jelasnya dalam laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri yang dikeluarkan DOSM hari ini.

 

 Mohd. Uzir Mahidin
 Mohd. Uzir Mahidin

 

Sementara itu, beliau memberitahu, indeks nilai seunit import pula merosot daripada 112.6 mata kepada 112.4 mata pada Oktober 2020.

 

Indeks berkenaan menyusut 0.2% berbanding dengan bulan sebelumnya. 

 

Kemerosotan berkenaan disebabkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-4.2%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.2%). 

 

"Walau bagaimanapun, indeks volum import naik 3.2% kepada 139.4 mata berbanding 135.2 mata pada September 2020. 

 

"Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+37.9%), barang-barang keluaran kilang (+1.6%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.5%)," ujarnya.

 

Indeks volum import pelarasan bermusim pada Oktober 2020 jatuh 0.6% daripada 135.3 mata kepada 134.6 mata.

 

Tambah beliau, berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing menyusut 4.2% dan 1.9%.

 

Dalam terma perdagangan negara pula, terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 0.4% bulan ke bulan daripada 98.1 mata kepada 98.5 mata pada Oktober 2020.

 

Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia masih mencatatkan penyusutan dengan 0.5% daripada 99.1 mata. - DagangNews.com