Indeks Pelopor catat 109.5 mata pada Julai, hala tuju ekonomi Malaysia kekal stabil  | DagangNews Skip to main content

Indeks Pelopor catat 109.5 mata pada Julai, hala tuju ekonomi Malaysia kekal stabil 

KUALA LUMPUR 22 Sept - Indeks Pelopor (IP), yang menjangkakan hala tuju ekonomi secara purata empat hingga enam bulan ke hadapan, kekal stabil dengan mencatatkan 109.5 mata pada Julai 2022 berbanding 105.2 mata dalam bulan sama pada tahun lepas.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, ia selari dengan pertumbuhan IP sebanyak 4.1% tahun ke tahun, lebih rendah daripada 5.3% pada Jun 2022.

 

Katanya, import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain kekal sebagai pendorong utama kepada pertumbuhan berikutan peningkatan permintaan berkaitan logam berasaskan platinum.

 

Trend menurun ini terutamanya dipengaruhi oleh import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain, yang menyumbang negatif 0.9% kepada peratusan perubahan IP pada bulan tersebut.

 

“Walaupun prestasi IP rendah sedikit pada Julai 2022, ia menunjukkan prospek ekonomi Malaysia dijangka kekal optimis di hadapan berdasarkan indeks arah aliran jangka panjang yang lancar dan terus melepasi 100 mata

 

“Ini sejajar dengan pelbagai inisiatif dan pentadbiran kerajaan yang responsif terhadap situasi semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagi kedudukan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) pada Julai 2022 menunjukkan arah aliran menurun buat kali pertama tahun ini untuk merekodkan 119.6 mata berbanding 121.5 mata pada Jun.

 

Dari segi perbandingan tahun ke tahun, IS mengecil sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 12.5% pada Julai berbanding 12.6% pada bulan sebelumnya. 

 

Berasaskan bulanan, IS perlahan kepada -1.6% terutamanya disebabkan oleh penurunan -0.9% dalam Kapasiti Penggunaan di sektor Pembuatan dan -0.5% dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian.

 

Indeks Difusi bagi IP mencatatkan 42.9% manakala lima daripada enam komponen Indeks Difusi bagi IS meningkat untuk merekodkan 83.3% pada bulan rujukan. - DagangNews.com