Indeks Pelopor catat penurunan 109.2 mata pada Oktober 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Pelopor catat penurunan 109.2 mata pada Oktober 2023 - DOSM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Indeks Pelopor mengekalkan pertumbuhan tahunannya pada kadar negatif 0.2% dengan mencatatkan 109.2 mata pada Oktober 2023 berbanding 109.4 mata pada bulan sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan itu disebabkan penguncupan dalam Import Benar Semi Konduktor (-33.6%), yang menyaksikan prestasi negatif selama 10 bulan berturut-turut. 

 

Katanya, sebaliknya terdapat peningkatan dalam Bilangan Unit Kediaman Yang Diluluskan Pembinaan (40%) dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar (23.4%). 

 

"Melihat kepada prestasi bulanan, IP menyusut kepada negatif 0.2% berbanding negatif 0.3 peratus pada bulan sebelumnya. 

 

"Prestasi yang lebih baik ini didorong oleh Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (0.5%) dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar (0.3%). 

 

"Namun begitu, penyusutan dalam Import Benar Semi Konduktor (-1%) memberi kesan kepada pertumbuhan keseluruhan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Kadar pertumbuhan IP terlicin bagi Oktober 2023 kekal di bawah trend 100 mata, menjangkakan prospek pertumbuhan yang sederhana, disokong penggunaan swasta yang mampan dan landskap pasaran buruh yang memberangsangkan.

 

 

DOSM

 

 

Berhubung keadaan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mengekalkan pertumbuhan positifnya sejak September 2021 dengan mencatatkan 124.1 mata, meningkat 2.9% berbanding 120.6 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Prestasi ini disumbangkan kesemua komponen terutamanya Nilai Caruman Benar, KWSP (17.1%). 

 

Pada masa yang sama, perubahan bulanan IS mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3%, disokong semua komponen kecuali Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (-0.3%). - DagangNews.com