Indeks Pelopor kembali pulih catat 0.3% kepada 110.1 mata pada Disember 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Pelopor kembali pulih catat 0.3% kepada 110.1 mata pada Disember 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menunjukkan prestasi lebih baik pada suku kedua 2024, disokong Indeks Pelopor (IP) yang pulih ke trajektori positif sebanyak 0.3% untuk mencapai 110.1 mata pada Disember 2023 berbanding 109.8 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ia merupakan pertumbuhan positif yang pertama selepas penurunan sembilan bulan berturut-turut, didorong lonjakan dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (41.5%) berbanding negatif 25.8% pada November 2023. 

 

"Melihat kepada prestasi bulanan, IP juga meningkat sebanyak 0.3%, disumbangkan oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia dan bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan, masing-masing menyumbang 0.5%," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, kadar pertumbuhan IP terlicin bagi Disember 2023 kekal di bawah trend 100 mata. 

 

Katanya, meskipun masih berada di bawah trend, ekonomi Malaysia dijangka akan lebih baik dalam tempoh terdekat disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan keadaan pasaran pekerjaan yang stabil.

 

Merujuk kepada senario ekonomi semasa katanya, Indeks Serentak (IS) meningkat 2.3% kepada 123.1 mata pada Disember 2023 berbanding 120.3 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

 

dosm

 

 

"Peningkatan ini disumbangkan oleh semua komponen kecuali Indeks Pengeluaran Perindustrian (-0.1%). Bagaimanapun, IS menyusut 0.5 peratus bulan ke bulan, disebabkan oleh prestasi Indeks Pengeluaran Perindustrian yang tidak memberangsangkan (-0.3%)," katanya. - DagangNews.com