Indeks Pelopor Malaysia catat 4.3% pada April 2024, naik 113.1 mata - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Pelopor Malaysia catat 4.3% pada April 2024, naik 113.1 mata - DOSM

Indeks Pelopor Malaysia terus meningkat 4.3% pada April 2024, lapor DOSM. Fambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 Jun - Indeks Pelopor Malaysia terus meningkat 4.3% pada April 2024, mencapai 113.1 mata berbanding 108.4 mata pada tahun sebelumnya. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan untuk bulan kelima berturut-turut menunjukkan ekonomi Malaysia kekal berada dalam momentum pertumbuhan. 

 

"Peningkatan ini dapat dilihat dalam semua komponen kecuali Import Benar Semi Konduktor (-1.5%). 

 

"Selepas penurunan marginal sebanyak 0.5% pada Mac 2024, perubahan bulanan IP meningkat semula sebanyak 0.8% pada April 2024.

 

"Pertumbuhan ini disumbangkan oleh peningkatan dalam Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan (0.8%), Import Benar Semi Konduktor (0.2%) dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar (0.2%),” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

pelopor

 

Menurut Mohd Uzir, melihat kepada trend jangka panjang terlicin pada April 2024, IP kekal berada di atas 100.0 mata, menggambarkan pertumbuhan ekonomi yang berterusan dalam bulan-bulan mendatang disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan pengembangan yang mampan bagi sektor Pembuatan dan Perkhidmatan.

 

Katanya, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi keseluruhan ekonomi semasa pula meningkat sebanyak 3.0% pada April 2024, mencapai 125.4 mata berbanding 121.7 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

"Peningkatan berterusan dua angka dalam Nilai Caruman Benar, KWSP (34.1%) merupakan penyumbang utama kepada kenaikan ini. 

 

"Merujuk kepada prestasi bulanan, IS juga meningkat sebanyak 0.3% disokong terutamanya oleh peningkatan Jumlah Guna Tenaga dalam Pembuatan (0.2%)," ujarnya. - DagangNews.com