Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.
KUALA LUMPUR 4 Mei - Mesyuarat di antara urusetia Pejabat Pengurusan Perubahan Strategik (SCMO) dengan kerajaan-kerajaan negeri bersetuju untuk mewujudkan satu platform khusus dan indeks pencapaian tunggal bagi merealisasikan insiatif MyDigital dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mempengerusikan mesyuarat itu, berkata, platform khusus tersebut bertujuan membolehkan inisiatif MyDigital di peringkat kebangsaan dapat diterjemahkan serta diselaraskan melalui pelan strategik dan digital setiap negeri bagi mencapai aspirasi yang sama.
Dalam masa sama, indeks pencapaian tunggal dapat menilai dan memantau jurang pelaksanaan agenda digital di antara negeri yang akan dibangunkan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE), katanya.
“Kerajaan negeri Sarawak, Perlis dan Melaka telah membentangkan inisiatif digital yang dilaksanakan pada peringkat negeri masing-masing dalam mesyuarat ini.
“Banyak kemajuan telah pun dicapai oleh negeri-negeri dalam melaksanakan agenda digital. Walau bagaimanapun, pencapaian setiap negeri adalah berbeza,” kata Mustapa dalam satu kenyataan hari ini.
Mesyuarat yang disertai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu adalah susulan sesi libat urus dengan kerajaan negeri yang telah diadakan pada 2 April 2021.
Mesyuarat itu juga bertujuan berkongsi keputusan yang dibuat oleh Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara (MED4IRN), dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 April 2021.
Pada masa sama, mesyuarat berkenaan bertindak untuk selarikan langkah yang diambil oleh kerajaan negeri dalam pelaksanaan agenda digital di negeri masing-masing selaras dengan inisiatif MyDigital.
“Penyalarasan di antara kerajaan pusat dan negeri amat penting bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dalam insiatif MyDigital dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Negara dapat dicapai.
“Penyelarasan ini adalah perlu bagi merapatkan jurang digital yang wujud di antara negeri-negeri dan memastikan Malaysia terus kekal kompetitif untuk menarik pelaburan. Kerajaan telah mengiktiraf digital sebagai kemudahan asas ketiga negara selain daripada bekalan air dan elektrik.
“Kerajaan-kerajaan negeri mengalu-alukan peluang yang diberikan bagi berkongsi cabaran-cabaran yang dihadapi,” ujar beliau lanjut.
Pada mesyuarat sama, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) turut membentangkan laporan suku pertama program Jalinan Digital Negara (Jendela) yang di antaranya menyentuh tiga perkara.
Kata Mustapa, ini termasuk kos pembinaan struktur menara komunikasi dan atas bumbung yang berbeza mengikut negeri di mana melibatkan julat yang besar antara RM37,600 hingga RM2,065.
Kedua, kadar migrasi talian mudah 3G kepada 4G meningkat sebanyak 130% melibatkan 629,018 pelanggan berbanding sasaran 562,490 pelanggan pada 28 Februari 2021.
Jelas beliau, dengan migrasi ini, sebanyak 20,492 pemancar 3G telah ditutup.
Selain itu, jumlah aduan daripada pengguna dalam tempoh Januari hingga Mac 2021, yang berdasarkan 50 daerah tertinggi, menyaksikan Johor Bahru mencatatkan aduan tertinggi iaitu 2,387 aduan.
Ini diikuti oleh Petaling (2,303 aduan), Kuala Lumpur (1,888 aduan), Seremban (1,581 aduan) dan Klang (1,428 aduan).
“Aduan-aduan ini termasuk mengenai ketiadaan liputan dan kualiti liputan internet. SKMM mengambil berat aduan-aduan ini dan telah mengarahkan syarikat telekomunikasi supaya menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan,” tambah beliau. - DagangNews.com