Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi Disember 2021 naik 5.8% | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi Disember 2021 naik 5.8%

KUALA LUMPUR 8 Feb - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pada Disember 2021 naik 5.8% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pengembangan IPI ini disumbangkan oleh peningkatan 8.4% dalam Indeks Pembuatan dan 3.7% dalam Indeks Elektrik, tetapi Indeks Perlombongan mencatatkan penurunan sebanyak 2.5%.

 

"Dari bulan ke bulan, IPI berkembang sebanyak 1.3% selepas didorong oleh indeks pembuatan, perlombongan dan elektrik," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan dalam sektor pembuatan pada Disember 2021 adalah produk elektrik dan elektronik (18.2%), makanan, minuman serta tembakau (10.3%) dan produk mineral bukan logam, logam asas serta fabrikasi logam (5.3%).

 

Pada masa sama, pertumbuhan dalam sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan eksport (9.6%) dan industri berorientasikan domestik (5.7%).

 

Peningkatan industri yang berorientasikan eksport disokong oleh pembuatan komputer, elektronik dan produk optik termasuk pembuatan minyak sayur-sayuran, minyak haiwan dan lemak.

 

Prestasi sektor pembuatan juga berada sebaris dengan pertumbuhan eksport yang menggalakkan.

 

Sementara itu, pertumbuhan bagi industri berorientasikan domestik adalah disebabkan oleh pembuatan produk makanan dan logam asas.

 

Menurut Mohd. Uzir, dari bulan ke bulan, sektor pembuatan mencatatkan kenaikan 0.5% berbanding November 2021 selepas disokong oleh penggunaan kapasiti yang lebih tinggi terutama dalam subsektor elektrik dan elektronik termasuk produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

 

Katanya, penurunan output sektor perlombongan pada Disember 2021 berbanding dengan tempoh sama tahun sebelumnya adalah disebabkan oleh kejatuhan 5.5% dalam indeks minyak mentah dan pengurangan 0.2% dalam indeks gas asli.

 

"Bagaimanapun, Indeks Perlombongan mencatatkan peningkatan sebanyak 4.1% berbanding bulan sebelumnya," katanya.

 

Output sektor elektrik bertambah 3.7% dari tahun ke tahun pada Disember 2021 manakala dari bulan ke bulan, indeks elektrik mencerminkan kenaikan sebanyak 1.7%.

 

Sementara itu, beliau berkata, IPI bagi suku keempat 2021 meningkat 6.9% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dengan pengembangan ini disebabkan oleh pertumbuhan dalam Indeks Pembuatan (9.2%) dan Indeks Elektrik (4.3%) manakala Indeks Perlombongan menguncup 0.8%.

 

IPI pada 2021 mencatatkan pertumbuhan 7.4% berbanding 2020 yang dipengaruhi oleh lonjakan dalam semua komponen termasuk Indeks Pembuatan (9.5%), Indeks Elektrik (2.3%) dan Indeks Perlombongan (1.5%).

 

Berbanding dengan tempoh sebelum berlakunya COVID-19 pada 2019, IPI menokok 2.7% manakala Indeks Pembuatan bertambah sebanyak 6.6%. - DagangNews.com