Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Feb. - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) dijangka kembali meningkat kepada 6.3% pada 2021 berbanding -4.2% pada tahun lalu.
MIDF Research berkata, ramalan itu dinilai kepada aktiviti pengeluaran yang terus pulih didorong oleh permintaan yang baik bagi pasaran domestik dan pasaran luar.
"Pelancaran program vaksinasi COVID-19 di peringkat tempatan dan global akan membantu meningkatkan keyakinan dan pertumbuhan rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan China.
"Perkara tersebut sekali gus dapat menyokong aktiviti eksport dan pengeluaran industri negara meningkat tahun ini," kata MIDF Research.
Semalam, DagangNews.com melaporkan IPP pada Disember 2020 berkembang positif sebanyak 1.7% berbanding bulan sama tahun lalu.
Pertumbuhan tersebut dipacu oleh indeks Pembuatan sebanyak 4.1%.
Baca: Indeks Pengeluaran Perindustrian Disember 2020 berkembang 1.7%
Sementara itu, nilai jualan bagi sektor pembuatan pada Disember 2020 turut meningkat 4.5% kepada RM124.6 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Nilai jualan pada Disember itu adalah pertumbuhan tertinggi dicapai sejak Mac 2020.
Baca: Jualan sektor pembuatan Disember 2020 melonjak 4.5%
Secara bulanan, penjualan pembuatan meningkat sebanyak 3.9% berbanding bulan sebelumnya kerana penjualan kebanyakan produk bertambah baik setelah kerajaan menghentikan PKPB dan melonggarkan sekatan antarabangsa.
MIDF Research bagaimanapun menjangkakan penjualan pembuatan akan perlahan pada awal 2021 susulan sekatan yang lebih ketat dalam usaha membendung kes COVID-19 yang semakin meningkat. - DagangNews.com