Indeks Pengeluaran Perindustrian Februari berkembang 1.5% | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian Februari berkembang 1.5%

Indeks Pengeluaran Perindustrian Februari berkembang 1.5%

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 April - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) berkembang 1.5% pada Februari 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan IPP pada Februari 2021 dipacu oleh indeks Pembuatan dengan peningkatan 4.5%.

 

Ujar beliau, indeks perlombongan dan elektrik bagaimanapun masing-masing menguncup 6.0% dan 5.8%.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin.

 

"Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 4.5% pada bulan Februari 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 3.5% pada bulan Januari 2021.

 

"Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Februari 2021 adalah produk peralatan elektrik & elektronik (10.3%), Produk Petroleum, Kimia, getah & Plastik (8.9%) dan Kelengkapan Pengangkutan dan Pembuatan lain (3.2%).

 

"Industri berorentasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 5.8%, manakala industri berorentasikan domestik meningkat 1.8%," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang berkaitan statistik IPP Malaysia pada Februari 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, output sektor perlombongan menguncup 6.0% pada bulan Februari 2021 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Katanya, kemerosotan tersebut disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah & kondenset (-11.5%) serta indeks Gas Asli (-1.6%).

 

"Output sektor elektrik menyusut 5.8% pada bulan Februari 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya," ujar beliau lagi. - DagangNews.com