Indeks Pengeluaran Perindustrian Mac 2021 tertinggi sejak Julai 2013 | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian Mac 2021 tertinggi sejak Julai 2013

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) melonjak 9.3% pada bulan Mac 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya dan tertinggi sejak Julai 2013.

 

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Uzir Mahidin, pertumbuhan IPP pada bulan Mac 2021 dipacu oleh indeks Pembuatan dan Elektrik apabila masing-masing meningkat 12.7% dan 10.3%.

 

Sementara itu, indeks Perlombongan menguncup 1.9%.

 

“Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 12.7% pada bulan Mac 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 4.5% pada bulan Februari 2021. 

 

“Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor Pembuatan pada bulan Mac 2021 adalah Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (20.9%), Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik (14.1%) dan Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (13.8%). 

 

“Industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor Pembuatan sebanyak 12.4% manakala industri berorientasikan domestik meningkat 13.4%,” katanya dalam satu kenyataan berhubung laporan IPP Mac 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) hari ini. 

 

Dalam pada itu, pertumbuhan sektor Pembuatan turut didorong oleh kadar kapasiti penggunaan kilang yang tinggi terutamanya dalam subsektor Produk Peralatan Elektrik & Elektronik dan Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik.

 

Kata Mohd. Uzir lagi, output sektor Perlombongan bagaimanapun menguncup 1.9% pada bulan Mac 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. 

 

Kemerosotan tersebut disebabkan oleh penurunan dalam indeks Minyak Mentah & Kondensat (-9.4%). 

 

Pada masa yang sama, indeks Gas Asli tumbuh positif 4.3%, ujar beliau.

 

“Output sektor Elektrik meningkat 10.3% pada bulan Mac 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

 

“IPP bagi suku tahun pertama 2021 berkembang 3.9% berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya. Pertumbuhan ini disebabkan oleh peningkatan 6.8% dalam indeks Pembuatan. 

 

“Sementara itu, sektor Perlombongan dan Elektrik masing-masing merekodkan kemerosotan 4.1% dan 0.1%,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com