Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menyusut 2.2% pada bulan November 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Kemerosotan IPP pada bulan November 2020 disebabkan oleh kejatuhan dalam indeks Perlombongan dan Elektrik apabila masing-masing mencatatkan penurunan 15.4% dan 2.5%.
Sementara itu, indeks Pembuatan terus berkembang 2.0%, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.
“Output sektor Pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 2.0% pada bulan November 2020 selepas mencatatkan pertumbuhan 2.4% pada bulan Oktober 2020.
“Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor Pembuatan pada bulan November 2020 adalah Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (8.3%), Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (6.5%) dan Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik (2.0%).
“Output sektor Perlombongan menguncup 15.4% pada bulan November 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya,” katanya dalam siaran Indeks Pengeluaran Perindustrian, Malaysia November 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.
Penurunan tersebut dipengaruhi oleh indeks Minyak Mentah & Kondensat (-15.8%) serta indeks Gas Asli (-15.1%).
Output sektor Elektrik menurun 2.5% pada bulan November 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, tambah Mohd. Uzir. - DagangNews.com