Indeks Pengeluaran Perindustrian Ogos catat pertumbuhan positif 0.3% | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian Ogos catat pertumbuhan positif 0.3%

Pengeluaran Perindustrian

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) terus mencatatkan pertumbuhan positif 0.3% pada Ogos 2020 berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan pada Ogos itu dipacu oleh pertumbuhan positif 2.4% dalam indeks pembuatan.

"Sementara itu, indeks perlombongan dan indeks elektrik masing-masing mencatatkan penurunan 6.7% dan 1.2%.

"Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun pula meningkat 2.4% pada bulan Ogos 2020 selepas mencatatkan pertumbuhan 2.9 peratus pada bulan Julai 2020," jelasnya dalam laporan IPP Malaysia bagi Ogos 2020 yang dikeluarkan DOSM hari ini.

Tambah beliau, subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Ogos 2020 adalah Produk Peralatan Elektrik dan Elektronik (6.9%), Kelengkapan Pengangkutan dan Pembuatan lain (6.9%) serta Makanan, Minuman dan Tembakau (4.7%). 

Manakala output sektor perlombongan menguncup 6.7% pada bulan Ogos 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. 

Kemerosotan tersebut disebabkan oleh penurunan dalam indeks Minyak Mentah dan Kondensat (-5.0%) serta indeks Gas Asli (-8.0%).

Output sektor Elektrik menguncup 1.2 peratus pada bulan Ogos 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Pada 11 September lalu, DagangNews.com melaporkan IPP pada Julai 2020 mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.2%.

Pertumbuhan yang positif itu dicatatkan sejak Februari 2020 berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com